KUANTAN – Seorang ahli keluarga kepada lima beranak yang maut dipercayai mati dibunuh itu meminta agar semua pihak berheti membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan.
Nurul Zahidah Zambri, 34, berharap agar semua pihak menghormati pihak keluarga dan memberi ruang supaya kes itu disiasat mengikut prosedur pihak polis.
Ujarnya mereka sekeluarga dinasihatkan oleh pihak polis agar memberi kerjasama dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sementara kes dalam siasatan lanjut.
“Keluarga kami juga tidak menyangka kejadian ini dan masih bersedih atas apa menimpa. Kalau melihat kejadian tragis yang menimpa keluarga kami pada hari ini saya berharap masyarakat di luar sana tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini.
“Saya minta semua pihak menghormati proses ini sampai pihak polis selesai dan keluarkan kenyataan nanti. Itulah yang kita akan pakai nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Manakala suami Nurul Zahidah yang enggan dikenali berkongsi perbualan terakhir dengan suspek mengatakan lelaki berusia 32 tahun ada menghantar mesej bertanyakan khabar kepada semua ahli keluarga sebelum kejadian.
“Antara yang menjadi agak pelik bila mendapat tahu dia mesej semua ahli keluarga bertanyakan khabar,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Awal pagi tadi, lima mayat sekeluarga ditemui maut dan terdapat kesan kelar di rumah Lorong Cherating Damai di sini dalam kejadian 7 pagi tadi.
Kejadian membabitkan sepasang suami isteri dan dua orang anak perempuan ditemui dalam bilik dan mayat ibu kepada suspek ditemui di dapur dalam rumah berkenaan.
Dalam insiden itu, lelaki berusia 32 tahun dipercayai mencederakan isteri, ibu berusia 55 tahun dan dua anak perempuan menggunakan senjata disyaki pisau sebelum bertindak mencederakan diri sendiri. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















