KUALA LUMPUR – Hampir 200,000 pengguna kini telah memuat turun aplikasi mudah alih JustGo Malaysia bagi Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) berasaskan Pengecaman Nombor Plat Kenderaan Automatik (ANPR) di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).
Projek perintis SPT ANPR itu dilaksanakan di PLUS Malaysia Berhad sebagai pengendali lebuh raya pertama dilancarkan pada 12 Februari lalu yang kini sedang dijalankan di jajaran Hutan Kampung ke Sungai Dua.
“PLUS melalui JustGO Malaysia memperkenalkan konsep kebebasan memilih lorong, yang membolehkan kenderaan berdaftar masuk dan keluar melalui mana-mana lorong tol tanpa perlu disesuaikan dengan kaedah pembayaran tertentu.
“Nombor plat kenderaan akan dikesan secara automatik apabila melalui lorong tol, dan caj tol diproses serta dipautkan terus kepada kaedah pembayaran pengguna melalui aplikasi mudah alih berkenaan.
“Untuk menggunakan sistem ini, pengguna hanya perlu memuat turun dan mendaftar melalui aplikasi mudah alih JustGO, tiada pemasangan peranti diperlukan dan tiada kos permulaan dikenakan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, sistem berkenaan dilancarkan Kementerian Kerja Raya (KKR) oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Azman Ibrahim dalam perhimpunan bulanan KKR, Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, di sini.
Sebelum ini media melaporkan, pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan kini boleh menikmati pengalaman pemanduan yang lebih lancar apabila PLUS memperkenalkan projek rintis Sistem Pembayaran Tol Terbuka berasaskan ANPR.
Sistem berkenaan disokong oleh kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin untuk mengenal pasti kenderaan dalam pelbagai keadaan termasuk cuaca, kelajuan serta sudut pandangan yang berbeza.
Aplikasi mudah alih itu dibangunkan sebagai platform pembayaran digital terbuka yang dirancang untuk dimiliki bersama industri lebuh raya selaras aspirasi kerajaan menyediakan kaedah lebih fleksibel. – MalaysiaGazette
















