Oleh: Ismail Hashim Yahaya
RAMADAN sering difahami sebagai bulan menahan lapar dan dahaga tetapi pada hakikatnya ia adalah sebuah naratif penyucian jiwa yang mengembalikan manusia kepada fitrah. Ia bukan sekadar ritual fisiologis sebaliknya sebuah teks simbolik yang mengajarkan manusia tentang disiplin, kesedaran dan pulang ke asal kejernihan.
Dalam kerangka semiotik, “lapar” adalah tanda yang mengosongkan ruang dalam diri agar dapat diisi dengan cahaya. Dalam kerangka naratif, Ramadan adalah drama tahunan tentang manusia yang diuji, ditundukkan, lalu dibangkitkan dengan kesedaran yang baharu.
Namun, dalam dunia digital yang sarat dengan imej dan pengwajahan diri, algoritma dan kebisingan media sosial, makna Ramadan berhadapan dengan cabaran baharu yang menuntut kita membaca ulang tanda dan naratif ini. Puasa adalah hubungan langsung antara tubuh yang menahan dan jiwa yang dibersihkan serta simbol perjalanan kembali kepada asal kejernihan manusia.
Naratif Ramadan bermula dengan pengekangan, berkembang menjadi konflik batin dan mencapai resolusi dalam bentuk penyucian jiwa. Ia adalah kisah pulang ke fitrah, ke keadaan asal manusia yang jernih, seimbang dan tunduk kepada Yang Maha Esa.
Namun naratif ini kini berinteraksi dengan dunia digital yang penuh dengan tanda-tanda baharu: notifikasi, trending topics, dan imej diri yang dikhususkan untuk tontonan umum. Era pasca normal ditandai oleh runtuhnya kepastian lama. Norma sosial, politik dan budaya yang dahulu dianggap stabil kini dipersoalkan. Dalam ruang awam, legitimasi sering bergantung kepada persepsi bukan substansi.
Media sosial mempercepatkan krisis ini: kebenaran ditentukan oleh jumlah “like” dan “share,” bukan oleh kedalaman makna.
Oleh ini kedatangan bulanRamadan dalam konteks ini menjadi naratif tandingan. Ia mengingatkan bahawa legitimasi sejati bukanlah pada keterlihatan luaran lebih jauh lagi kepada kesucian dalaman.
Lapar yang ditanggung bukan untuk tontonan di media sosial lebih jauh lagi untuk penyucian. Ia adalah simbol bahawa manusia boleh menahan diri daripada godaan populisme, materialisme dan narsisisme digital.
Dalam budaya digital, kita sering terperangkap antara “sedap” dan “sihat.” Sedap adalah konten yang cepat, viral dan menghibur; sihat adalah kandungan yang mendidik, menenangkan, dan membina. Kedatangan bulan Ramadan mengajarkan keseimbangan ini. Lapar adalah metafora bagi menolak kesedapan segera demi kesihatan jiwa.
Namun media sosial sering menggoda kita dengan visual “hidangan sedap” yang tidak menenangkan. Cabarannya ialah bagaimana menjadikan bulan Ramadan bukan sekadar hashtag atau kandungan estetik tetapi naratif yang benar-benar menyucikan jiwa. Dalam era digital, puasa bukan hanya menahan diri daripada makanan bahkan juga menahan diri daripada
keterlaluan dalam konsumsi maklumat, gosip, manipulasi, fitnah, berbohong dan imej palsu.
Teknologi digital membentuk naratif diri kita. Profil media sosial adalah teks yang kita tulis setiap hari: gambar, status dan komen. Namun naratif ini sering terpisah daripada fitrah. Ia dibentuk oleh algoritma yang mengutamakan keterlihatan, bukan kejujuran. Ramadan mengingatkan bahawa naratif sejati bukanlah apa yang ditulis di platform dan tetapi apa yang ditulis di hati.
Penyucian jiwa adalah proses menulis ulang naratif diri iaitu daripada imej palsu kepada fitrah yang jernih. Dalam era digital, cabaran puasa ialah bagaimana kita boleh menggunakan teknologi untuk memperkuatkan naratif penyucian bukannya tenggelam dalam lautan imej.
Era digital juga adalah era kebisingan. Notifikasi, berita palsu, komentar tanpa henti, semuanya ini membentuk semiotik bising. Puasa memperkenalkan semiotik sunyi: menahan diri, berdiam, mendengar suara hati. Lapar adalah tanda sunyi yang melawan bising. Ia mengingatkan bahawa dalam kekosongan, ada makna.
Dalam era pasca normal di mana kebisingan sering menenggelamkan kebenaran berpuasa mengajarkan bahawa legitimasi lahir daripada kesunyian yang menyucikan. Menahan diri daripada makanan dan minuman adalah latihan menahan diri daripada kebisingan digital.
Ramadan bukan hanya pengalaman individu bahkan naratif kolektif umat. Ia adalah drama sosial yang menghubungkan sesama manusia melalui solidariti, empati dalam kebersamaan.
Dalam era media sosial, naratif kolektif sering terpecah oleh algoritma yang mencipta “echo chamber.” Puasa mengingatkan bahawa naratif sejati adalah naratif bersama yakni naratif yang menghubungkan manusia melampaui gelembung digital.
Penyucian jiwa dan kejernihan hati dan fikiran bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk masyarakat. Dalam konteks ini, bulan Ramadan adalah peluang untuk membina legitimasi sosial yang berakar pada fitrah bukan pada imej di
media sosial.
Cabaran berpuasa di era pasca normal dan digital ialah bagaimana mengekalkan makna penyucian jiwa daripada viral hawa nafsu dalam dunia yang sarat dengan imej palsu, kebisingan dan krisis legitimasi. Namun, di sinilah harapan dalam berpuasa: ia adalah teks simbolik yang sentiasa relevan kerana ia mengajarkan manusia untuk kembali ke fitrah.
Dalam dunia digital, fitrah adalah naratif tandingan—naratif yang menolak citra palsu, menolak kebisingan, dan menolak populisme. Ramadan mengingatkan bahawa legitimasi sejati lahir daripada kesucian dalaman, bukan daripada keterlihatan luaran.
Ramadan bukan sekadar lapar dan dahaga. Ia adalah tanda, naratif dan teks simbolik yang menyucikan jiwa dan mengembalikan manusia kepada fitrah. Dalam era pasca normal dan digital, puasa berhadapan dengan cabaran
baharu: kebisingan media sosial, imej palsu, dan krisis legitimasi.
Namun, di sinilah kekuatan Puasa: ia menawarkan semiotik sunyi dan naratif penyucian sebagai tandingan kepada budaya digital yang bising dan cetek. Puasa mengingatkan kita bahawa dalam kekosongan ada makna, dalam lapar ada penyucian dan dalam kembali ke fitrah ada legitimasi sejati.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa yang menafsir dan menginterpretasikan isu semasa daripada perspektfi semiotika dan naratif.
















