Zurahaque (tiga dari kanan) bersama-sama komuniti Rohingya membacakan doa di pusara wanita hamil yang maut dibunuh suaminya di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Wanita etnik Rohingya yang maut dibunuh suaminya dengan lesung Batu Jumaat lalu selamat dikebumikan bersama-sama bayi dalam kandungannya di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam di sini hari ini.

Lebih 50 komuniti Rohingya hadir memberi penghormatan terakhir kepada dua beranak tersebut dalam upacara pengebumian pada pukul 11 pagi tadi.

Ketua Komuniti Rohingya Kota Tinggi, Zurahaque Jamaludin berkata, pihaknya menuntut jenazah wanita berusia 34 tahun itu berikutan tiada waris terdekat yang dapat berbuat demikian.

Katanya, jenazah ibu kepada seorang anak itu dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) semalam untuk urusan pengurusan jenazah selepas urusan bedah siasat selesai dilakukan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

Menurutnya, jenazah itu juga tidak dapat dibawa pulang ke negara asal kerana hanya memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Dia memang tak ada waris terdekat di sini. Tak boleh bawa balik negara asal sebab status UNHCR. Jadi kami uruskan pengebumian di sini.

“Jenazah arwah dikebumikan sekali bersama-sama bayi dalam kandungan yang turut disahkan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di tanah perkuburan tersebut hari ini.

Sementara itu, Zurahaque berkata, seorang anak mangsa yang berusia empat tahun kini berada dalam penjagaan sepasang suami isteri komuniti tersebut sementara menunggu nenek atau kakak mangsa datang mengambilnya di negara ini.

“Anaknya nampak biasa sahaja. Dia tak tahu emak dia sudah meninggal, cuma tahu emaknya masuk hospital. Tapi dia tahu ayah dia dekat lokap,” katanya.

Terdahulu portal ini melaporkan seorang wanita yang hamil tujuh bulan ditemui maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian menyayat hati itu.

Mangsa ditemui tidak bernyawa dalam bilik rumah sewa mereka kira-kira pukul 7 pagi oleh tuan rumah selepas dipercayai dibunuh pada pukul 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman dilaporkan berkata, pihaknya tidak menolak punca kejadian bermotifkan cemburu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast