PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan jumlah pampasan yang diperoleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, daripada RM2.5 juta kepada RM830,000 dalam kes fitnah terhadap pendakwah bebas, Mohd Rasyiq Mohd Alwi.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan bersama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahril Mohd Salleh memutuskan amalan pemberian ganti rugi jutaan ringgit dalam kes fitnah merupakan pendekatan lama yang tidak lagi sesuai.
Mahkamah membenarkan rayuan perayu dengan mengurangkan ganti rugi am daripada RM2 juta kepada RM500,000 serta menurunkan ganti rugi teladan daripada RM250,000 kepada RM80,000.
Bagaimanapun, ganti rugi teruk sebanyak RM250,000 yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan.
Menurut Mohamed Zaini, ganti rugi dalam kes fitnah bertujuan memberi pampasan setimpal terhadap kerosakan reputasi, bukannya memberikan keuntungan luar biasa kepada plaintif.
Panel turut bersetuju kenyataan yang diterbitkan perayu adalah serius kerana membabitkan dakwaan tidak jujur dan pemalsuan status vaksinasi ketika Khairy masih memegang jawatan Menteri Kesihatan.
Mahkamah juga mengambil kira terdapat beberapa penerbitan berasingan di media sosial, namun menegaskan penilaian kuantum perlu dibuat secara seimbang dan munasabah.
Dalam mengekalkan ganti rugi teruk, mahkamah menyatakan kenyataan tersebut bukan sahaja menjejaskan reputasi Khairy, malah berpotensi mengelirukan orang ramai mengenai isu vaksin COVID-19.
Selain itu, panel mendapati permohonan maaf perayu tidak menunjukkan penyesalan yang tulen.
Mengenai ganti rugi teladan, mahkamah menegaskan ia bersifat menghukum dan hanya wajar diberikan dalam keadaan luar biasa, namun tetap relevan memandangkan kedudukan perayu sebagai pendakwah yang mempunyai pengaruh.
Saman itu difailkan pada Januari 2022 susulan beberapa hantaran di Instagram yang didakwa memfitnah Khairy berkaitan status vaksinasi COVID-19.
Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan kenyataan berkenaan mencemarkan integriti dan reputasi plaintif. -MalaysiaGazette
















