KUANTAN – Kanak-kanak berusia 15 tahun yang menjadi saksi kejadian tragis yang meragut lima nyawa ahli keluarganya di rumah mereka di Cherating Damai, di sini dibawa pulang ke Kemaman, Terengganu oleh bapa kandungnya.
Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Khairul Amri Ahmad, pihaknya telah menemukan kedua-dua beranak itu kelmarin.
“Pihak JKM Kuantan telah berjumpa kedua-dua mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, namun ketika itu kanak-kanak itu dilihat masih trauma dan belum bersedia untuk sesi kaunseling,” katanya dalam kenyataan.
Buat masa ini, kanak-kanak lelaki terbabit kini berada bersama bapa kandungnya di Felda Neram, Kemaman untuk ditenangkan.
Jelas Khairul Amri, JKM Kuantan telah merujuk kes berkenaan kepada JKM Kemaman yang memaklumkan sentiasa bersedia utk menyantuni keluarga itu termasuk mengadakan sesi kaunseling.
Sebagai rekod, kanak-kanak itu yang merupakan adik bongsu suspek adalah individu terawal menyedari tentang kejadian apabila terdengar bunyi pertengkaran kira-kira pukul 7 pagi ketika berada di dalam bilik tidurnya.
Sebaik keluar dari bilik dan menuju ke arah dapur, dia mendapati ibunya dalam keadaan berlumuran darah dan sempat menjerit meminta agar dia mendapatkan bantuan daripada bapa saudara yang tinggal di belakang kawasan perumahan sama.
Sejurus pulang semula ke rumah, mereka menemukan empat jasad abangnya sekeluarga sudah tidak bernyawa di dalam sebuah bilik tidur, manakala ibunya berlumuran darah dan meninggal dunia di ruang dapur. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Dua kanak-kanak perempuan antara lima sekeluarga mati dibunuh
















