KUALA LANGAT – Sebarang dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dana kerajaan khususnya membabitkan bekas menteri kanan perlu disiasat dengan telus dan terbuka.
Lantaran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak wajar mana-mana pihak menghukum sebelum sesuatu siasatan dilakukan pihak berkuasa, apatah ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.
“Apa pun salah laku ada dakwaan, kita harus konsisten dan jangan kita pilih. Sesiapa pun kalau ada dakwaan, siasat dengan telus dan terbuka.
“Sebelum selesai siasatan dan pendakwaan, jangan hukum. Sekarang ini kita dengar, bagi ruang untuk siasat, jangan ada tuduh-menuduh dalam Ramadan Kareem ini, jadi kita buat sebaiknya.
“Kalau ada tuduhan, kita siasat dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding, Banting, di sini.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kesediaan berdepan dengan sebarang siasatan berhubung dakwaan salah laku dan rasuah membabitkan dua dasar utama kerajaan ketika beliau menerajui Kementerian Ekonomi.
Rafizi berkata, tuduhan terhadap dirinya menggambarkan kononnya berlaku penyelewengan dalam Program Visi Silikon membabitkan kerjasama dengan ARM, serta Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR), pelaburan industri hijau.
Perdana Menteri melahirkan rasa kesal kerana sebelum perkara itu disiasat, ada pihak tertentu gemar menghukum dan menghebahkan perkara itu kepada khalayak.
“Ini masalah dalam negara kita. Dengar saja orang tuduh terus melompat, kecam. Mereka tahu itu fitnah.
“Jadi daripada nak buat kebaikan, mungkin kita melakukan salah. Sebab itu saya terima baik apa-apa dakwaan, sama ada kepada kerajaan.
“Kalau ada dakwaan, ada bukti, kita siasat dengan telus. Baru dalam negara ini agak teratur, tapi Ramadan ini kita perlu fokus dalam soal ibadat, beramal, silaturahim,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















