Pembenihan awan akan dilakukan di Empangan Machap, Kluang baru-baru ini selepas mengalami penyusutan.- Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Krisis air yang melanda kawasan Pontian dan Kluang berakhir apabila operasi loji rawatan air (LRA) Simpang Renggam pulih sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pemulihan bekalan air itu turut melibatkan semua LRA di negeri ini yang beroperasi pada tahap 100 peratus.

Jelasnya, meskipun tiada akaun terjejas, bantuan bekalan air alternatif terus digerakkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi menyokong keperluan penduduk di Kluang dan Pontian.

“Sebelum ini, kita berdepan situasi mencabar apabila paras Empangan Machap jatuh di bawah paras minimum dan bacaan di Sungai Ulu Benut menghampiri tahap berjaga-jaga.

“Ketika kemarau, air dari Empangan Machap disalurkan ke Sungai Ulu Benut bagi menampung aliran kerana sungai ini merupakan sumber air mentah utama ke loji rawatan yang membekalkan air kepada Kluang dan Pontian.

“Alhamdulillah, paras Sungai Ulu Benut terus mencatat bacaan normal pada 5.28 meter, melepasi paras amaran. Paras Empangan Machap pula berada pada 14.02 meter, bersamaan paras minimum dan menunjukkan peningkatan berbanding sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, dengan keadaan sungai yang stabil, empangan tidak lagi berada dalam situasi kritikal seperti ketika fasa kemarau.

Menurutnya, seiring kestabilan sumber air mentah ini, LRA Simpang Renggam kini beroperasi dengan pengeluaran semasa 61.1 Juta Liter Sehari (JLH) daripada kapasiti reka bentuk 64 MLD.

Bekalan air kepada pengguna di Kluang dan Pontian katanya, berjalan mengikut jadual tanpa gangguan melibatkan semua Zon A, B dan C di kedua-dua daerah.

“Berdasarkan status operasi semasa, kesemua LRA di Johor kini beroperasi pada tahap 100 peratus termasuk LRA Sembrong Timur yang sebelum ini beroperasi pada kadar lebih rendah.

“Ini menandakan sistem bekalan air negeri berada dalam keadaan stabil dan terkawal,” ujarnya.

Tambahnya, pemantauan berterusan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan air kekal stabil, terjamin dan berdaya tahan untuk seluruh rakyat Johor.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast