Pembenihan awan akan dilakukan di Empangan Machap, Kluang baru-baru ini selepas mengalami penyusutan.- Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor membangkitkan isu gangguan bekalan air di negeri itu bertujuan menunaikan tanggungjawab sebagai pengimbang dan suara rakyat.

Pemuda PH Johor dalam satu kenyataan memberitahu, apa yang mereka suarakan itu bukan satu kesalahan dan masalah yang dibangkitkan mempunyai asas serta menuntut penjelasan kerajaan negeri.

“Dalam demokrasi yang matang, bertanya dan meneliti bukan satu kesalahanvmalah sebahagian daripada tanggungjawab.

“Kami juga ingin memperjelaskan bahawa persoalan yang kami bangkitkan ada asasnya. Kami maklum bahawa kawasan yang terlibat ketika ini memang tidak mempunyai pusat data.

“Namun persoalan yang lebih besar ialah sekiranya gangguan bekalan air berlaku di kawasan yang mempunyai pusat data, apakah tindakan dan keutamaan kerajaan negeri?

“Apakah mekanisme perlindungan dan pelan kontingensi yang telah dirangka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan PH Johor memandang serius gangguan bekalan air yang menjejaskan beberapa kawasan di negeri itu susulan paras Sungai Benut dan Empangan Machap dilaporkan berada pada tahap kritikal.

Gabungan itu dipetik merujuk kepada laporan media yang menyatakan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam kini beroperasi pada kadar rendah berikutan kekurangan sumber air mentah.

Ia sekali gus memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat serta menimbulkan kebimbangan terhadap pengurusan sumber air negeri dalam menghadapi kepesatan pembangunan industri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam reaksinya memaklumkan, gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Johor bukan berpunca daripada projek pembangunan pusat data.

Dalam pada itu, Pemuda PH seterusnya melontarkan persoalan, pada masa sama jika sesuatu kawasan itu tiada pusat data, adakah ini bermakna masalah air di situ tidak perlu diberi keutamaan?

Jelasnya, rakyat di mana-mana kawasan berhak mendapat bekalan air yang stabil dan terjamin, justeru isu asas itu tidak wajar dipolitikkan atau dipandang sambil lewa.

Sekiranya pemimpin kerajaan negeri ingin dilihat matang dan bertanggungjawab kata beliau, maka pertanyaan perlu dijawab secara berhemah dengan fakta dan pelan tindakan yang jelas

Tegasnya, bukan dengan melabelkan persoalan yang dibangkitkan Pemuda PH sebagai fitnah.

“Rakyat tidak gemar melihat pendekatan angkuh atau defensif apabila isu kebajikan mereka dibangkitkan. Lebih mendukacitakan apabila kami mengangkat isu ini diserang secara beramai-ramai oleh pelbagai pihak berkaitan kerajaan negeri.

“Menghantar segerombolan pemimpin pemuda dan bahagian untuk menyerang balas secara politik bukan pendekatan matang. Apa yang rakyat mahukan ialah penyelesaian bukan perbalahan,” ujarnya.

Pihaknya menegaskan bahawa isu gangguan bekalan air adalah isu rakyat, bukan isu politik, Pemuda P menegur mana yang perlu demi memastikan kebajikan rakyat Johor sentiasa menjadi keutamaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast