Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Semua ahli termasuk pimpinan parti perlu mematuhi apa jua keputusan dan ketetapan yang dicapai pada Kongres Khas DAP pada 12 Julai depan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

“Saya percaya, selepas pengumuman berhubung perkara ini dibuat, ia memberi ruang kepada perwakilan untuk membawa suara ahli dan penyokong, termasuk pandangan penyokong bukan ahli melalui saluran parti, supaya keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan kehendak majoriti.

“Seperti dikatakan oleh Setiausaha Agung (Anthony Loke), pertemuan ini merupakan referendum dalaman parti dan ia sangat penting,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Kawasan Dewan Undangan Negeri Padang Kota di sini hari ini.

Sebelum ini, Loke berkata kongres itu akan memberi ruang kepada perwakilan menentukan sama ada pemegang jawatan parti perlu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan.

Loke turut memaklumkan bahawa 40 Ahli Parlimen parti itu akan terus menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.

Dalam pada itu, Chow berkata dalam sesebuah kerajaan gabungan yang melibatkan pelbagai parti komponen, perbincangan mengenai peranan parti dalam kerajaan adalah perkara lazim dan sejajar dengan amalan demokrasi.

“DAP tidak menarik sokongan daripada Kerajaan MADANI. Isu yang dibincangkan adalah berkaitan peranan DAP dalam kerajaan, khususnya sama ada terus memegang jawatan menteri dan posisi tertentu, bukan soal keluar daripada kerajaan,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast