Tengku Zafrul Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyelar bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli supaya tidak terus memutar belit fakta berkenaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS).

Menurut beliau, dakwaan Rafizi kononnya negara kini perlu membayar tarif dua kali ganda susulan keputusan Mahkamah Agung AS bersabit ART baru-baru ini adalah tidak berasas.

Katanya, keputusan Mahkamah Agung AS menolak tarif yang dikenakan secara global oleh Presiden Donald Trump itu secara tidak langsung bermakna tarif 19 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia sebelum ini juga tidak terpakai.

Menjelaskan lebih lanjut, Tengku Zafrul berkata, ART merupakan perjanjian bagi memastikan Malaysia bersedia lebih awal terhadap sebarang kemungkinan risiko perdagangan.

“Konsep perjanjian ART ini sebenarnya mudah, dia macam insuran perjalanan, masa nak melancong orang selalu fikir takkan jadi apa-apa, tapi bila masuk hospital luar negara bil boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

“Waktu itu barulah kita nak faham kenapa bayar takaful itu penting. ART ini pun sama, kita bersedia dari awal dengan sediakan payung sebelum hujan,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial beliau hari ini.

Tambah Tengku Zafrul, Malaysia menyedari kes melibatkan tarif oleh Trump itu sedang berjalan di Mahkamah Agung AS.

Namun, ujarnya, Malaysia tidak boleh menunggu sehingga keputusan itu selesai kerana situasi akan menjadi berbeza sekiranya keputusan mahkamah tersebut memihak kepada Trump.

Sedangkan, tambah beliau, dalam perdagangan global hari ini, negara yang lambat bertindak dan bergerak terpaksa membayar harga yang mahal.

“Sebab itu kita mestilah bertindak awal dan kita bukan satu-satunya negara yang ambil pendekatan ini. Kesatuan Eropah, United Kingdom, Korea, Jepun dan terkini jiran kita Indonesia juga telah capai persefahaman dengan AS.

“Adakah semua negara ini juga tergesa-gesa? Atau mereka juga mahu beri kepastian kepada industri-industri masing-masing?” soalnya.

Tambah Tengku Zafrul, pada akhirnya, isu berkenaan ART  bukan soal siapa paling kuat bercakap tetapi  tentang siapa paling awal bertindak untuk melindungi ekonomi negaranya.

Tegas beliau, Malaysia memilih untuk bertundak proaktif kerana setiap keputusan perdagangan melibatkan pekerjaan rakyat dan masa depan industri negara.

“Ada orang tunggu ribut datang lepas itu sibuk bercakap tentang cara nak selamat, kita pula pilih untuk pasang payung awal supaya rakyat tak perlu basah baru nak cari tempat berteduh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast