KUALA LUMPUR – Bekas pengarah sebuah syarikat telekomunikasi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memberi suapan berjumlah RM8 juta kepada bekas presiden sebuah bank, 14 tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Ranjeet Singh Sidhu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Berdasarkan pertuduhan, Ranjeet, 56 didakwa memberi rasuah kepada bekas Presiden dan Pengarah Urusan Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Mohd Zafer Mohd Hashim sebagai dorongan membantu meluluskan permohonan pinjaman RM400 juta oleh V-Telecoms Berhad pada 2012.
Pinjaman itu bertujuan membangunkan rangkaian pesisir merangkumi sistem gentian optik di sekitar Semenanjung Malaysia.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, Ranjeet berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam masa yang sama, lelaki itu berdepan satu lagi pertuduhan menggunakan secara tidak jujur sebagai tulen satu dokumen palsu, iaitu dokumen Joint Completion Guarantee antara V Telecoms Berhad dan Huawei Technologies Co Ltd bertarikh 21 Jun 2012 untuk memenuhi syarat kelulusan permohonan pinjaman RM400 juta daripada BPMB bagi membiayai projek yang sama, di tempat dan masa yang sama.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh turut diperintah menyerahkan pasport dan melaporkan diri di ibu pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Mac depan.
Terdahulu dilaporkan, Ranjeet ditahan pada pukul 12.30 tengah hari semalam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. – MalaysiaGazette
















