KUALA LUMPUR – Dua vesel nelayan Thailand dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, semalam.
Kegiatan mereka itu dikesan menerusi rondaan rutin OP AMAN, OP TIRIS 3.0, OP GUARD 5.0, OP KHAS TANJUNG 2 SIRI 1/2026 di kedudukan tiga batu nautika Barat Laut Pulau Langgun pada jam 11 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, susulan itu dua tekong dan tiga orang kru warga Thailand berumur antara 13 hingga 50 tahun telah ditahan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, dua vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu vesel nelayan asing menangkap ikan di perairan Malaysia dan kesemua kru ditahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM227,000 dan vesel beserta barang kes dan kru yang ditahan telah dibawa ke jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Romli, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.
“Sekiranya terdapat sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai diminta melaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis ditalian 04-9662750 untuk tindakan segera,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















