Oplus_16908288

PONTIAN – Selepas lebih 12 jam seorang sub kontraktor terjatuh dari bot ketika pergi memancing di Sungai Ayer Hitam, Kayu Ara Pasong di sini semalam, mayatnya ditemukan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, mayat Albert Tan Siang Fook, 56, yang lengkap berpakaian dan tiada kesan kecederaan luaran ditemui pada pukul 10.30 malam.

“Mayat dijumpai terapung di permukaan air di sebelah tebing kiri menghala ke Pontian Besar, kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh dari bot.

“Mayat ditemui oleh seorang warga tempatan, Mohamad Azwan Abdul Aziz yang keluar membantu operasi mencari bersama-sama rakan dengan menaiki bot bermula sekitar pukul 9.30 malam,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

Beliau berkata, mayat kemudiannya dibawa ke Jeti Kampung Tanjung Ayer Hitam dan hasil pemeriksaan dalam beg pinggang mangsa menjumpai kad pengenalannya.

Katanya, operasi di lokasi turut melibatkan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kehadiran penduduk kampung di kawasan jeti.

Seterusnya kata beliau, mayat dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Pontian untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematian.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Ezal Azman berkata, mangsa menyewa bot tersebut untuk aktiviti memancing.

“Seramai 18 anggota terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bergegas ke tempat kejadian yang lokasinya kira-kira 8 kilometer,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, operasi turut dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Fire Responsible Vehicle (FRV) dan sebuah bot dan dua pacuan empat roda.

Semalam portal ini melaporkan Siang Fook, 56, hilang manakala anak angkatnya, Chong Hao Chen, 9, terselamat semasa keluar memancing dengan menaiki bot.

Mangsa terjatuh ke dalam sungai sebelum lemas dan hilang disebabkan bot dinaiki melanggar sebatang kayu yang melintang di laluan air.

Kejadian tersebut berlaku selepas kedua-dua beranak itu bertolak dari Jeti Bumbung Biru, Tanjung Ayer Hitam, Kayu Ara Pasong, di sini pukul 8 pagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast