KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat tidak diwajibkan meletakkan jawatan di sebalik siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya ketika ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana beliau sebagai Exco kerajaan negeri tidak menjejaskan proses pendakwaan dan perbicaraan.
Menurutnya, seseorang tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah.
“Semua pihak diminta tidak membuat spekulasi atau sebarang penilaian awal yang boleh menjejaskan proses keadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ahmad Samsuri yang baharu dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, kerajaan negeri komited menjaga integriti dan menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Saya menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada sistem perundangan menjalankan tugasnya secara profesional,” katanya.
Awal hari ini, Hanafiah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi kepentingan dua anak kandungnya.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan pertama, Hanafiah didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pegawai badan awam iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anak kandungnya, Mohd Najmi Hanafiah.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa untuk mendapatkan suapan bagi seorang lagi anak kandungnya, Ahmad Kamil Hanafiah pada 18 Jun 2020 di lokasi yang sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. – MalaysiaGazette
















