Neow Choo Seong.

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA menggesa kerajaan menjalankan siasatan komprehensif yang bebas susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berkenaan kelemahan perbelanjaan dan kawalan dalam Projek Pembangunan MyDigital ID (MyDID).

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, siasatan itu termasuk dalam aspek kelulusan projek, mengkaji semula mekanisme perolehan dan pembayaran serta mengenal pasti sama ada wujudnya unsur salah guna kuasa, kronisme dan penipuan.

Menurutnya, laporan siasatan itu juga wajar dibentangkan secara telus kepada umum.

“Diharapkan kerajaan tidak memandang ringan masalah ini dengan melabelkannya sebagai satu `kecuaian pentadbiran’ ataupun `masalah teknikal’,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas laporan LKAN 1/2026 semalam yang mendedahkan sejumlah RM28.13 juta perbelanjaan Projek MyDID di bawah pengurusan MIMOS Bhd (MIMOS) dibuat tanpa kelulusan jawatankuasa ditetapkan.

Sementara itu, Choo Seong berkata, nilai yang dibelanjakan itu bukan kecil dan kerajaan harus bertanggungjawab memastikan wang tersebut digunakan secara betul untuk manfaat rakyat, bukannya dibazirkan untuk membiayai sebuah projek yang tidak telus dan diganggu oleh pelbagai kelemahan.

Dalam masa sama, katanya, rakyat bimbang sekiranya pihak bersalah tidak dipertanggungjawabkan, maka “masalah teknikal” seperti itu akan terus berulang.

“Isu seperti ini jika tidak dibendung dengan segera akan menyebabkan hakisan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan agensi terbabit.

“Lebih-lebih lagi apabila projek MyDID ini membabitkan data peribadi dan ekonomi digital seluruh rakyat.

“Adakah kerajaan mengharapkan rakyat terus memberi kepercayaan kepada mereka untuk menguruskan maklumat sensitif apabila kelemahan ini tidak mampu ditangani kerajaan?” soalnya.

Sehubungan itu, tambah beliau, langkah-langkah penyelesaian yang diambil haruslah telus dan dilihat membawa pembaharuan secara jelas, kerana rakyat sudah bosan mendengar janji-janji kosong kerajaan untuk membawa perubahan atau menjaga kepentingan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast