Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi. - Foto: harakahdaily

KUALA LUMPUR – Lantikan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bukan pertandingan peribadi dengan sesiapa termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, lantikan Ahmad Samsuri adalah kerana Pas dan Perikatan Nasional (PN) mencari kestabilan, bukan populariti.

Menurutnya, masih terdapat pemerhati politik membaca politik Malaysia dengan kaca mata lama, seolah-olah semuanya pertandingan personaliti dan populariti.

Sedangkan hakikatnya, jelas beliau, rakyat sudah berubah apabila tidak lagi teruja dengan slogan besar dan retorik panjang.

Ujarnya, rakyat juga sudah penat dengan politik populis serta janji manis ketika pilihan raya, namun kos sara hidup naik dan tekanan ekonomi semakin terasa selepas mendapat kuasa.

“Rakyat kini mencari pemimpin yang boleh dipercayai, bukan sekadar yang pandai berpidato.

“Mereka mahu pentadbiran bersih dan kerja yang menjadi.

“Pemimpin kurang bercakap tetapi hasilnya sampai kepada rakyat lebih diyakini. Politik Malaysia sedang beralih daripada politik persepsi kepada politik prestasi,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas mengenai pandangan pemerhati politik tempatan yang menyifatkan PN melakukan kesilapan dengan melantik Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi baharu kerana Menteri Besar Terengganu berkenaan tidak mampu menandingi kekuatan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin yang juga Ketua Pemuda Pas Dungun turut menyifatkan ramai pemerhati politik tidak benar-benar memahami Pas.

Jelasnya, Pas tidak melihat kuasa sebagai habuan kerana dalam kerangka perjuangan, kuasa ialah amanah untuk menjaga rakyat dan menstabilkan negara.

Disebabkan itu, ujarnya, pemimpin Pas tidak obses kepada jawatan kerana kuasa bukan untuk mengkayakan perut atau membina dinasti.

“Parti yang hidup dengan ideologi lebih tahan daripada parti yang hidup dengan individu,” katanya.

Sementara itu, mengulas pemilihan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN baharu, beliau menyifatkan keputusan itu adalah langkah awal dalam meremajakan gabungan parti tersebut.

Jelasnya, PN sedang bergerak daripada pakatan pilihan raya kepada alternatif pentadbiran negara, justeru memerlukan tokoh diplomasi yang mampu menjadi orang tengah, menyatukan blok pembangkang dan membina keyakinan pengundi tengah.

“Jadi soalan sebenar bukan siapa mampu tandingi PMX (Anwar).

“Soalan sebenar ialah siapa mampu meyakinkan rakyat bahawa negara ini ada pelan, ada kestabilan dan ada kepimpinan yang boleh dipercayai selepas terlalu banyak eksperimen politik.

“Rakyat hari ini tidak lagi mencari hero, rakyat sedang mencari pentadbir negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast