Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berbincang bersama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad ketika hadir pada Program Sahur di Balai Bomba Dan Penyelamat Seputeh, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 FEBRUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meningkatkan pemeriksaan keselamatan kebakaran di premis penginapan seperti hotel, inap desa dan chalet sempena Aidilfitri tahun ini.

​Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan berdasarkan
trend semasa masyarakat yang kini lebih cenderung menyewa tempat penginapan berbanding menetap di rumah keluarga ketika pulang ke kampung halaman.

Jelasnya, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kadar ketidakpatuhan premis-premis yang terlibat terhadap undang-undang keselamatan kebakaran menurun kepada 14 daripada 17 peratus.

​”Ini menunjukkan peningkatan kepatuhan yang positif tetapi saya percaya kita tidak boleh selesa dalam situasi ini dan akan terus menjalankan penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita ketika Program Sahur Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh di sini, hari ini.

Program berkenaan disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Tambahnya, selain pemantauan premis, JBPM juga mengatur gerak persediaan bagi memastikan tindak balas pantas terhadap insiden, khususnya kemalangan di kawasan yang dijangka mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk sepanjang musim perayaan.

​”Pasukan kita akan berada di lokasi-lokasi strategik untuk membolehkan kita respons kurang daripada setengah jam ke lokasi-lokasi yang kita jangka berlaku kesesakan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast