Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bercakap pada media semasa Program Sahur di Balai Bomba Dan Penyelamat Seputeh, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 FEBRUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Cuti majoriti anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dibekukan menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi bagi menghadapi sebarang bencana yang tidak dijangka.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, langkah itu merupakan persediaan yang dilakukan setiap tahun.

Beliau menyifatkan anggota bomba sebagai insan yang luar biasa kerana cukup berjasa sebagai barisan hadapan ketika rakyat berdepan dengan pelbagai risiko.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyediakan hidangan pada Program Sahur di Balai Bomba Dan Penyelamat Seputeh, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 FEBRUARI 2026.

“Mereka merupakan insan yang luar biasa, apabila berlaku apa-apa bencana merekalah barisan hadapan, orang pertama yang hadir ke tempat kejadian, sebagai tonggak penyelamat (bencana) dalam negara.

“Hari Raya ini kebanyakan anggota bomba cuti mereka terpaksa dibeku untuk menghadapi sebarang risiko,” katanya ketika hadir Program Sahur di di Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh awal pagi tadi.

Katanya, dia terharu dengan pengorbanan pasukan bomba dan kehadirannya pagi ini untuk menyuntik semangat mereka.

“Saya mahu anggota bomba tahu,  mereka tidak pernah bersendiri. Pengorbanan dan jasa bakti mereka wajib kita hargai bersama,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyediakan hidangan pada Program Sahur di Balai Bomba Dan Penyelamat Seputeh, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 FEBRUARI 2026.

Lantaran itu, tambahnya, kerajaan akan memastikan kebajikn anggota bomba dan penyelamat itu akan terus diperjuangkan dari semasa ke semasa.

“Dari segi kebajikan, perolehan aset kerajaan sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya untuk pastikan lebih kurang 15,000 orang anggota bomba berada dalam kesiapsiagaan yang paling sempurna.

“Walaupun ada kekurangan, masih ada ruang yang boleh diperbaiki, tapi kita komited,” tambahnya.

Sementara itu Hisham mengesahkan cuti 80 peratus anggota akan dibeku sempena Aidilfitri nanti.

”Ini kita kena buat awal sebab orang (anggota) nak rancang cuti masing-masing. Siapa boleh balik kampung dan tidak khususnya yang kampungnya di Sabah dan Sarawak, jadi rancangan ini kita buat awal,” ujarnya.

Terdahulu, Kor Ming meluang masa menggoreng kuey teow dan membuat teh tarik untuk para anggota bomba di balai tersebut sebelum mereka bersahur bersama-sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast