SHAH ALAM – Geng curi tabung Masjid Kristal, Seksyen 7 di sini tumpas dengan tertangkapnya empat lelaki warga tempatan menerusi satu operasi di sekitar Lembah Klang pada 22 dan 24 Februari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejayaan itu hasil serbuan ke atas sebuah kondominium di Seksyen 13, hadapan sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur dan sebuah pangsapuri di Seri Kembangan antara 12.30 tengah malam hingga 3 pagi.
“Operasi itu melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah (D4 & D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan kerjasama Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Sri Muda.
“Dalam operasi tersebut, seramai empat lelaki warga tempatan berusia antara 17 hingga 26 tahun telah ditahan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Pada 22 Februari lalu, polis sedang mengesan empat lelaki yang dipercayai terlibat dengan kejadian curi tabung Masjid Kristal, Seksyen 7, di sini.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 4 pagi pada Ahad lalu dengan suspek dipercayai warga tempatan menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza berwarna perak.
Shazeli juga berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua empat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
“Manakala salah seorang ahli kumpulan itu didapati positif dadah jenis amphetamine (amp) dan methamphetamine (meth),” katanya.
Selain tangkapan, pihaknya turut merampas sebuah Toyota Avanza, empat telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM200.
Sehubungan itu, beliau menasihati pengurusan masjid dan surau supaya memastikan sistem CCTV berfungsi dengan baik serta mengosongkan tabung kutipan secara berkala sebagai langkah pencegahan.
“Orang ramai juga diminta segera menyalurkan maklumat mengenai kehadiran individu mencurigakan di kawasan rumah ibadat bagi memastikan keselamatan serta kesuciannya terus terpelihara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















