Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin.

 

KUALA LUMPUR – Kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun di negara ini mencecah 21.2 peratus berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022.

Lantaran itu, Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi melancarkan kempen kesedaran secara agresif.

Pengerusinya, Yeo Bee Yin berkata, isu bantut bukan sekadar melibatkan ketinggian fizikal kanak-kanak, sebaliknya memberi kesan besar terhadap perkembangan otak, pencapaian akademik serta produktiviti masa depan negara.

“Bantut bukan sekadar isu ketinggian ataupun anak kecil. Ia menjejaskan perkembangan otak, pencapaian akademik, produktiviti masa depan dan daya saing negara.

“Setiap kanak-kanak yang gagal mencapai potensi pertumbuhan hari ini adalah kerugian kepada negara pada masa hadapan,” katanya ketika membuat penerangan di Dewan Rakyat berhubung Penyata Bantut Dalam Kalangan Kanak-kanak di Malaysia.

Menurut beliau, kadar bantut menunjukkan trend peningkatan apabila merekodkan 17.7 peratus pada 2015 sebelum meningkat kepada 21.2 peratus pada 2022, sekali gus mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak.

Bee Yin turut memaklumkan, Malaysia merupakan satu-satunya negara ASEAN yang mencatatkan peningkatan kadar bantut daripada 19.3 peratus pada tahun 2000 kepada 24.3 peratus pada 2024.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan meneliti pendekatan Indonesia yang berjaya menurunkan kadar bantut sebanyak 11 peratus dalam tempoh enam tahun, daripada 30.8 peratus pada 2018 kepada 19.8 peratus pada 2024.

“Ini membuktikan penurunan ketara boleh dicapai jika kepimpinan, tadbir urus dan pelaksanaan bergerak seiring.

“Jika negara yang lebih besar dan kompleks seperti Indonesia mampu menurunkan kadar bantut secara drastik melalui kepimpinan tegas dan pelaksanaan berasaskan data, maka Malaysia juga perlu beralih daripada pendekatan berpecah-belah kepada pendekatan yang tersasar, terukur dan bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast