Prof. Madya Datuk Dr Luqman Abdullah.

KUALA LUMPUR – Isu peyebaran gambar memijak al-Quran di media sosial dan yang menyentuh mengenai 3R (agama, kaum dan raja) bukan sekadar persoalan undang-undang atau tatatertib institusi.

Sebaliknya, Yang Di-Pertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof. Madya Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, ia turut melibatkan soal adab dan tanggungjawab moral yang mesti difahami secara mendalam oleh seluruh rakyat Malaysia.

Jelasya, dalam sebuah negara majmuk yang dibina atas asas Perlembagaan dan kontrak sosial, keharmonian antara agama dan kaum adalah nikmat yang wajib dipelihara.

Tambah beliau, kebebasan bersuara bukan kebebasan tanpa batas dan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, kebebasan bersuara tertakluk kepada sekatan demi keselamatan negara, ketenteraman awam dan moraliti.

“Kefahaman ini penting agar masyarakat tidak terjebak dalam retorik kebencian atau provokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang disyaki menghina Islam di media sosial seperti yang tular hari ini.

Menurut Luqman, institusi pendidikan adalah medan pembinaan adab dan ilmu, justeru mahasiswa dan warga akademik seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat dalam mengamalkan wacana berfakta, berhemah dan berasaskan hujah ilmiah, bukan emosi atau sentimen.

Katanya, institusi Raja-Raja dan agama Islam mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan dan menghormati kedudukan itu bukan sahaja tuntutan undang-undang, malah sebahagian daripada adab kenegaraan yang perlu dipupuk sejak bangku sekolah dan universiti.

“Media sosial menuntut etika digital. Setiap individu adalah “penerbit” pada hari ini.

“Maka setiap perkongsian akan dipersoalkan bukan sahaja di sisi undang-undang, tetapi juga di sisi agama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Malaysia mengamalkan pendekatan hikmah, dialog dan pendidikan dalam menangani isu-isu sensitif.

Ujarnya, perbezaan pandangan tidak seharusnya membawa kepada permusuhan, sebaliknya perlu diurus melalui saluran yang betul, berteraskan ilmu dan adab.

Dalam masa sama, beliau menggesa pihak berkuasa dan institusi Islam yang berkenaan terus komited untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya menjaga perpaduan nasional, memelihara keharmonian antara agama dan kaum serta mengangkat budaya ilmu dalam setiap perbincangan awam.

“Malaysia hanya akan terus aman dan dihormati apabila rakyatnya berdisiplin dalam berkata-kata, matang dalam berbeza pandangan, dan teguh memelihara prinsip keadilan serta keharmonian,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast