KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited untuk terus memperkukuh aspek tatakelola dan integriti dalam perkhidmatan awam termasuk di agensi-agensi penguat kuasa daripada campur tangan ejen atau ‘orang tengah’.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, beberapa cadangan penambahbaikan sedang dilaksanakan ketika ini.
“Dalam Op Middleman yang dijalankan semalam dilihat perlunya mempertingkatkan saluran aduan awam yang lebih mudah, cepat dan mesra pengguna agar sebarang maklumat berkaitan salah laku atau kewujudan ‘orang tengah’ dapat disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera.
“Usaha ini selari dengan agenda reformasi perkhidmatan awam yang menekankan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus baik. Pendekatan pencegahan melalui pengukuhan sistem dilihat langkah paling berkesan bagi menutup kelompongan yang membuka ruang kepada rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara langkah yang dilaksanakan antaranya memperluas penggunaan sistem pendigitalan dan automasi bagi mengurangkan interaksi fizikal antara pelanggan dan pegawai, sekali gus menutup ruang manipulasi serta salah guna kuasa dalam kalangan pegawai serta anggota penguat kuasa.
Selain itu, penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP), pengasingan fungsi tugas dan pemantauan dalaman yang lebih ketat perlu diperkasakan bagi mengesan sebarang ketidakpatuhan atau percubaan rasuah pada peringkat awal,” jelasnya.
Pada masa yang sama katanya, SPRM juga akan melihat isu ejen-ejen di kaunter atau ‘ulat’ yang menjadi salah satu faktor berlakunya rasuah dan ia seharusnya tidak dinormalisasikan kerana akan menjejaskan integriti agensi masing-masing.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak menggunakan khidmat ‘orang tengah’ dalam sebarang urusan rasmi dan terus berurusan melalui saluran sah.
Terdahulu, Bahagian Perisikan SPRM bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanaka Ops Middleman bagi menunjukkan modus operandi cara pemberian rasuah yang melibatkan orang tengah atau tonto. – MalaysiaGazette
















