KUALA LUMPUR – Tindakan DAP yang mendesak kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ibarat tindakan ‘gergaji dua mata’ yang akan ‘sembelih’ mana-mana pihak yang tidak menyebelahi cadangan mereka.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar berkata, pendekatan ini dilihat satu usaha meletakkan tekanan kepada kerajaan, seolah-olah penubuhan RCI adalah hasil desakan DAP semata-mata dan bukannya keputusan kolektif kabinet.
“Persoalannya adakah DAP yang sebahagian dari komponen Kerajaan Perpaduan dan duduk di dalam Kabinet wajar untuk mengugut sedemikian rupa.
“Adakah ini cara DAP untuk memberi gambaran mereka sedang menjarakkan langkah politik daripada kerajaan bagi mengelakkan terus kehilangan pengaruh dan undi teras mereka yang majoritinya kaum Cina.
“Jika RCI tidak ditubuhkan, DAP akan mendakwa mereka telah mendesak tetapi tidak dipersetujui, sebaliknya berjaya, mereka akan tuntut kredit, ini adalah perjuangan mereka,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Kota Melaka mendesak kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkaitan isu pemilikan saham.
Khoo Poay Tiong menegaskan, sekiranya kerajaan gagal mengambil tindakan tegas, beliau serta ahli-ahli Parlimen daripada DAP mengugut untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Gulam juga berkata, strategi yang cuba dimainkan DAP kepada penyokong-penyokongnya ke arah “DAP is back to be ultra dan cauvinis as before”.
“DAP cuba melepaskan diri daripada kebertanggungjawaban sebagai komponen kerajaan yang tidak menunjukkan amalan politik matang.
“Malah tindakan DAP ini boleh menggugat kestabilan kerajaan sedia ada dengan memeras ugut bahawa kehendak dan kemahuan mereka wajib ditunaikan,” katanya.
Menurut Gulam, ia secara tidak langsung menggambarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diletakkan dalam situasi “lame duck”.
“Mungkin kelak takut kehilangan jawatan terpaksa akur dengan desakan DAP yang mempunyai 40 ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Bahaya situasi ini.
“Sepatutnya DAP tidak perlu bermain sentimen bila berada di dalam kerajaan, bila rasa tidak selesa dan mungkin tidak selari dengan dasar dan keputusan kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, kata Gulam, DAP boleh ‘angkat kaki’ daripada kerajaan sekarang tanpa menunggu konvensyen parti itu yang bakal diadakan Julai tahun ini.
“Perlu diingat kepada DAP, Kerajaan Perpaduan sedia ada bukan hak mutlak DAP dan mana-mana parti yang membentukkan kerajaan.
“Ia adalah kerajaan bersama yang menyokong dasar dan prinsip yang sama demi kestabilan dan kemakmuran negara.
“Buat Ahli Parlimen Kota Melaka, is not he go or we go but only one word, DAP can go. As the door always wide open for ultra and cauvinist group in goverment(ini bukan soal dia pergi atau kita pergi, tetapi hanya satu perkataan: DAP boleh pergi. Ini kerana pintu sentiasa terbuka luas untuk kumpulan ultra dan cauvinis dalam kerajaan.,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















