Syahredzan Johan.

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan menyeru supaya perjumpaan diadakan dalam kalangan wakil-wakil agama untuk meredakan ketegangan yang tercetus mutakhir ini.

Ahli Parlimen Bangi berkenaan turut menggesa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Perpaduan untuk bersama-sama merangka program memperbanyakkan aktiviti dalam kalangan anak muda pelbagai bangsa dan agama.

Katanya, beliau memandang serius kejadian melibatkan mahasiswa yang memuat naik gambar memijak al-Quran dan sebagai seorang Muslim dan wakil rakyat yang mewakili rakyat berbilang bangsa mengutuk keras tindakan melampau itu.

“Dalam masyarakat pelbagai bangsa dan agama, adalah penting keharmonian dalam kalangan rakyat dijaga.

“Apa-apa perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama harus dielakkan, dan sebarang hinaan dan provokasi agama, tidak kira agama apa sekalipun, wajar diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Syahredzan, rasa saling menghormati dan kebersamaan mesti dipupuk sejak awal supaya insiden seperti itu tidak berulang.

“Hanya dengan keamanan, barulah kita boleh terus mengecapi kemakmuran. Jangan biarkan api kemarahan dan kebencian membakar negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast