KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin Persatuan Teoh Beng Hock untuk Perkembangan Demokrasi (TBHADA) mengesahkan akan hadir pada perhimpunan Tangkap Azam Baki yang akan diadakan di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, pukul 10 pagi esok.
Sehubungan itu, Pengerusi TBHADA, Koong Hui Yein menyeru orang ramai untuk turut serta menyertai perhimpunan itu.
Menurutnya, perhimpunan itu bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap pegawai SPRM yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan perbuatan haram serta mereka yang bertindak sebagai penguat kuasa mafia korporat.
“Kami menuntut agar penyeksaan terhadap warga Malaysia yang tidak bersalah dan patuh undang-undang di bawah beralaskan siasatan dihentikan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hui Yein mendakwa, selama bertahun-tahun, SPRM telah menunjukkan sikap tidak mempedulikan nyawa manusia dan telah melanggar hak asasi manusia asas tahanan.
Dakwanya, perkara itu menyebabkan kematian Teoh Beng Hock (2009) dan Ahmad Sarbani (2011), selain ramai mangsa penyeksaan telah dinafikan keadilan.
“Kini, golongan usahawan pula menjadi sasaran seterusnya. Cukuplah setakat ini.
“Rakyat Malaysia mesti bersatu untuk menolak SPRM yang beroperasi di atas undang-undang tanpa akauntabiliti,” katanya.
Tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti diberitahu bahawa pesalah undang-undang harus berhadapan dengan sekatan undang-undang dan reformasi SPRM tidak boleh ditangguhkan lagi. – MalaysiaGazette
















