KUALA LUMPUR – Semangat perpaduan dalam kalangan rakyat semakin menyerlah susulan pengukuhan nilai ringgit serta perkembangan positif tarif timbal balas Malaysia-Amerika Syarikat (AS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan mendorong rakyat untuk terus menyokong dasar kerajaan.
“Apabila kita berada sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang ada, kita kekalkan semangat keharmonian ini dan kepelbagaian ini harus kita dukung bersama supaya Malaysia terus aman.
“Dengan peningkatan ekonomi dan pertukaran mata wang semakin membaik, ia akan menjadikan rakyat terus bersatu mendukung cita-cita kerajaan,” katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hassan serta Naib-Naib Presiden iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Datuk Seri Wan Rosdi Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah dan Presiden Parti Progresif Rakyat (myPPP), Datuk Dr Loga Bala Mohan.
Semalam, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyatakan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) bagi Tahun 2025 mencatatkan skor 0.701, sekali gus melepasi paras sederhana tinggi dan mencapai sasaran RMK-12.
Aaron berkata, skor itu menunjukkan perpaduan rakyat Malaysia semakin kukuh dengan semangat kebangsaan dan keyakinan terhadap tadbir urus negara yang lebih mantap.
Katanya Aaron lagi, trend sejak 2018 memperlihatkan peningkatan konsisten dari 0.567 ke 0.629 (Tahun 2022) dan akhirnya 0.701 (Tahun 2025), menggambarkan pengukuhan berterusan tahap perpaduan nasional. – MalaysiaGazette















