KUALA LUMPUR – Agama Hindu sebagaimana agama-agama lain, tidak pernah mengizinkan sebarang perbuatan menghina kitab suci atau rumah ibadat mana-mana agama.
Timbalan Setiausaha Agung, Parti Keadilan Rakyat (PKR), G. Sivamalar berkata, seorang penganut Hindu yang bertanggungjawab tidak akan melakukan perbuatan sedemikian.
Ujarnya, memijak al-Quran bagi penganut agama Hindu adalah seumpama memijak kitab Veda sendiri dan ia merupakan satu pelanggaran terhadap suara hati, keimanan dan nilai kemanusiaan.
“Tindakan sedemikian amat biadab, tidak boleh diterima dan sama sekali tidak mempunyai tempat dalam sebuah masyarakat bertamadun serta berbilang agama seperti Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, katanya, perbuatan mempersenda, menyebarkan rakaman video di media sosial yang melibatkan perobohkan kuil, tokong atau mana-mana rumah ibadat sambil bergambar dan ketawa, malah berkali-kali menyatakan kuil sebagai `haram’ juga tercela dan tidak boleh diterima.
Menurut beliau, tindakan sedemikian amat menyakitkan hati dan menggugat keharmonian antara agama.
“Seorang Muslim yang berpegang kepada prinsip dan nilai agama tidak akan bertindak sedemikian.
“Penghinaan tidak boleh sama sekali dibenarkan, tanpa mengira daripada komuniti mana ia datang,” katanya.
Tambahnya, adalah tidak adil dan berbahaya untuk menghukum atau melabel keseluruhan komuniti Hindu atau masyarakat Cina atas perbuatan segelintir individu, sebagaimana tidak wajar untuk menggeneralisasikan umat Islam berdasarkan tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu.
Kata beliau, sikap menyalahkan secara kolektif hanya akan menambahkan rasa curiga dan meretakkan fabrik sosial negara.
Ujarnya, setiap rakyat harus mengingati pengorbanan generasi terdahulu yang membina negara ini atas asas kepelbagaian kaum, budaya dan saling menghormati.
“Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa bukan semata-mata kerana kekuatan ekonominya, tetapi kerana kemampuan rakyatnya yang berbilang kaum dan agama hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai tidak terperangkap dengan agenda pihak tidak bertanggungjawab yang cuba meniup api kebencian serta menggugat keharmonian antara agama.
Ujarnya, matlamat pihak berkenaan adalah untuk memecah-belahkan masyarakat dan cubaan seperti itu semakin dipergiatkan apabila pilihan raya umum semakin hampir. – MalaysiaGazette
















