Suspek lelaki dan anaknya ditahan kerana mencuri kompenan paip di lorong belakang bangunan Jalan Lambak, Kluang, semalam.

KLUANG – Seorang bapa dan anak remaja lelakinya yang sudah tidak bersekolah ditangkap kerana mencuri komponen paip di lorong belakang bangunan Jalan Lambak di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima satu laporan berhubung kegiatan tersebut pukul 12.40 tengah hari.

“Kejadian tersebut dilakukan oleh dua individu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Bertindak atas maklumat, menerusi Ops Cantas pada 5.40 petang hari yang sama, tangkapan dilakukan.

“Sepasukan anggota dari Balai Polis Kluang membuat tangkapan dan rampasan terhadap dua lelaki tempatan di tepi jalan Haji Abdul Aziz Awab, Kluang Baru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek pertama merupakan lelaki berusia 38 tahun manalaka seorang lagi suspek adalah anaknya berusia 13 tahun tetapi tidak bersekolah.

Katanya, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan tiga kes dadah manakala anaknya tiada sebarang rekod.

Jelas beliau, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua tangkapan didapati negatif.

“Permohonan reman terhadap tangkapan dibuat di Mahkamah Majistret Kluang hari ini,” ujar beliau dan memberitahu kes disiasat bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bahrin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi 07-7784222; direct line 07-7784256; hotline 07-7766822 atau tablet DCC 014-3656822.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast