Mohd Radzmin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Fadzlin (tengah) pada program Singgah Sahur anjuran Pertubuhan Generasi Madani di Kampung Sungai Udang, Melaka, awal pagi tadi.

MELAKA – Ramadan kali ini kembali menguji emosi seorang anak apabila kerusi di meja pada waktu berbuka dan bersahur rumahnya di Kampung Sungai Udang di sini kosong tanpa ada lagi kelibat dua insan yang paling dirindui.

Bagi Muhammad Fadzlin Abdullah, 24, bukan sekadar juadah yang hilang tetapi kasih sayang dan doa seorang ibu serta bapa yang pergi dalam tempoh 10 hari akibat strok, tiga tahun lalu masih segar di ingatan.

Impiannya untuk bergelar pensyarah dalam bidang Penyejukan dan Penyamanan Udara juga terpaksa ditangguhkan apabila terpaksa membuat keputusan terbesar dalam hidupnya, berhenti belajar demi menjaga ibunya yang terlantar ketika itu.

Detik sukar itu bermula pada 2019 ketika Fadzlin sedang menuntut di Kolej Vokasional Juasseh dan hanya berbaki enam bulan sebelum menamatkan pengajian di peringkat diploma.

“Waktu itu saya lagi enam bulan nak tamat diploma apabila emak tiba-tiba kena serangan kena strok sebelah kanan diikuti pada sebelah kiri pula selang seminggu kemudian menyebabkan keadaannya semakin teruk.

Muhammad Fadzlin Abdullah

“Abang-abang semua kena kerja, ayah pun tak kuat jadi saya terpaksalah saya berhenti belajar sebab tak ada siapa nak jaga emak dan sejak itulah hidup saya berubah sepenuhnya,” katanya hiba.

Fadzlin ditemui pemberita pada program Singgah Sahur anjuran Pertubuhan Generasi Madani diketuai pengerusinya Mohd Radzmin Roslan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Rashid Husin.

Bercerita lanjut, anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, dalam tempoh lebih dua tahun menjaga ibunya, bapanya pula diserang strok sehingga dia terpaksa menguruskan kedua-duanya serentak.

“Emak menghembuskan nafas terakhir pada 2023 selepas lebih dua tahun bertarung strok manakala bapa menyusul pergi 10 hari kemudian juga akibat sakit sama,” katanya menahan hiba.

Mohd Radzmin (kanan) menyantuni Fadzlin pada program Singgah Sahur anjuran Pertubuhan Generasi Madani di Kampung Sungai Udang, Melaka, awal pagi tadi.

Sejak itu, Fadzlin menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga kepada tiga adiknya yang masih tinggal bersamanya iaitu Nur Fazlina, 22; Muhammad Furqan Hassan, 15, dan Muhammad Farhan Nikmat, 13.

“Dengan pendapatan sekitar RM2,100 sebulan sebagai pengawal keselamatan, setiap sen gaji diatur sebaik mungkin demi memastikan adik-adik tidak terputus persekolahan.

“Semua makan minum saya uruskan dan memang perbelanjaan kena berjima cermat walapun ada masanya saya juga teringin berbelanja macam-macam seperti rakan sebaya namun saya kena fikirkan adik-adik dahulu.

“Kalau ada rezeki lebih, saya nak sambung belajar balik mengejar cita-cita menjadi pensyarah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Radzmin berkata, program itu bertujuan menyantuni keluarga kurang berkemampuan serta menyelami sendiri keperitan hidup yang ditanggung mereka sepanjang Ramadan.

“Program ini bukan sekadar menyampaikan sumbangan, tetapi untuk kita mendengar sendiri kisah dan cabaran hidup mereka. Daripada situ, kita boleh lihat bentuk bantuan jangka pendek dan panjang yang sesuai.

“Kita mahu pastikan tiada keluarga yang terpinggir, apatah lagi anak-anak yang masih bersekolah dan perlu dibantu supaya masa depan tidak terjejas hanya kerana kesempitan hidup,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast