KLUANG – Sebarang cubaan memanipulasi isu pembinaan kuil tanpa kebenaran hingga menjadi isu perkauman atau mencetus sentimen kebencian terutama provokasi dalam media sosial perlu dihentikan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Simpang Renggam, Navinraj Krishnan berkata, isu itu perlu dilihat dari sudut pematuhan undang-undang dan tadbir urus bukan dijadikan bahan untuk memecahbelahkan masyarakat majmuk.
“Kami juga menyeru agar sebarang serangan dan provokasi di media sosial dihentikan segera. Kenyataan berunsur 3R (agama, kaum dan institusi diraja) hanya akan mengeruhkan keadaan serta menjejaskan keharmonian negara.
“Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan agama yang perlu terus dipelihara semangat perpaduannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sekiranya terdapat pelanggaran atau isu berkaitan status tanah, perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.
“Sebagai seorang Hindu, saya menegaskan bahawa kita perlu memastikan setiap rumah ibadat dibina secara sah dan teratur supaya tidak menimbulkan polemik di kemudian hari.
“Kita jaga agama kita dengan cara yang berhemah, mematuhi undang-undang dan menghormati hak semua pihak.
“Jangan beri ruang kepada mana-mana pihak untuk memutarbelitkan fakta atau menuduh secara melulu dalam pelbagai aspek. Semua pihak perlu bersikap matang dan bertanggungjawab dalam menangani isu ini,” katanya.
Navinraj menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang mesti dihormati oleh semua pihak tanpa mengira agama atau kaum.
Menurut beliau, sekiranya sesuatu tanah itu bukan milik sendiri atau tidak mendapat kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa, maka sebarang pembinaan termasuk rumah ibadat seperti kuil tidak seharusnya diteruskan.
“Sebagai seorang Hindu, saya memahami bahawa kuil adalah tempat ibadat yang suci dan penting kepada penganutnya namun pembinaan kuil hendaklah dibuat di atas tanah yang sah milik sendiri serta melalui proses dan kelulusan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Kita tidak boleh membina di atas tanah yang bukan hak kita.
“Sekali lagi saya menyeru agar semua pihak bermuhasabah dan bertindak dengan rasional demi kebaikan bersama,” katanya. – MalaysiaGazette
















