KULAI – Operasi pemadaman kebakaran sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Sengkang di sini sejak Selasa lalu sudah berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat BBP Kulai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Fauzi Awang berkata, kebakaran dapat dipadamkan kira-kira pukul 1.30 petang tadi.
“Operasi memadam kebakaran memasuki hari keempat hari ini berjaya dikawal pukul 8.08 pagi dan seterusnya dipadamkan sepenuhnya 1.30 petang dengan melibatkan 23 anggota.
“Operasi pemadaman dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua lori serta dua pacuan empat roda sebuah jenis Hilux dan Triton,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, portal ini melaporkan kebakaran kilang getah itu pada pukul 4.37 petang Selasa hingga menyebabkan tujuh buah sekolah berhampiran ditutup sementara dengan 6,000 pelajar terjejas.
Kebakaran tersebut sukar dikawal kerana melibatkan gudang penyimpanan getah dan plastik sekali gus menyebabkan pencemaran udara di kawasan sekitar. – MalaysiaGazette
















