Zainuddin Adan

JOHOR BAHRU – Keputusan kerajaan negeri melipatgandakan gaji minimum bagi jawatan Tahap 1 (Tier 1 expatriate) di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) daripada RM10,000 kepada RM20,000 berkuat kuasa 1 Jun ini terlalu mendadak.

Timbalan Ketua Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, tindakan itu berpotensi membebankan syarikat baharu yang sedang menubuhkan operasi di Malaysia khususnya dalam menyesuaikan struktur kos dan perniagaan mereka.

“Bagi makluman, syarat Employment Pass bagi kategori Tier 1 (Eksekutif Tertinggi) menetapkan gaji minimum RM20,000 dengan tempoh kontrak sehingga 10 tahun tanpa keperluan pelan penggantian.

“Bagi Tier 2 iaitu pengurus atau profesional, gaji minimum RM10,000 dengan tempoh kontrak sehingga 10 tahun dan syarikat diwajibkan menyediakan pelan penggantian untuk memastikan pemindahan ilmu kepada pekerja tempatan.

“Sementara Tier 3 iaitu pekerja mahir atau technician menetapkan gaji minimum RM5,000 dengan tempoh kontrak sehingga lima tahun, juga disertai pelan penggantian bagi tujuan pemindahan ilmu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pejuang Johor mencadangkan supaya pelaksanaan kenaikan gaji minimum Tier 1 dilakukan secara berperingkat-peringkat bagi mengelakkan tekanan terhadap syarikat baharu.

Bagi Tier 2, katanya, syarat pelan penggantian wajar dikekalkan, namun kerajaan perlu menyediakan sokongan latihan tambahan bagi mempercepatkan proses pemindahan ilmu.

Sementara untuk Tier 3, Pejuang Johor mencadangkan tempoh kontrak dikurangkan daripada lima tahun kepada dua tahun sahaja.

“Ini memandangkan pekerja Malaysia mampu menguasai kepakaran dengan lebih cepat tanpa perlu menunggu lima tahun untuk pemindahan ilmu pada kategori gaji RM5,000,” katanya.

Pejuang Johor menegaskan bahawa kenyataan sebelum ini bahawa JS‑SEZ jangan sekadar jadi penyedia tanah dan tenaga kerja murah, bertujuan menggalakkan pengambilan pekerja tempatan bagi kategori Tier 2 dan Tier 3.

Langkah itu ujarya, penting bagi memastikan rakyat Johor dan Malaysia memperoleh peluang pekerjaan serta pemindahan ilmu daripada pelaburan asing.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast