KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak berkuasa menilai semula keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) berhubung satu kes membabitkan dakwaan projek pembersihan kapal yang dipercayai tidak pernah wujud sehingga menyebabkan kerugian lebih RM1 juta.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya memandang serius kes membabitkan seorang pengarah syarikat pembaikan kapal yang didakwa terpedaya dengan tawaran projek pembersihan kapal jenis ‘barge’ pada Mei 2023 oleh sebuah syarikat antarabangsa.
Dedah beliau, mangsa dikenali sebagai S. Nagamani yang mempunyai pengalaman kira-kira 15 tahun dalam kerja pembaikan kapal khususnya propeler telah melantik subkontraktor bagi melaksanakan kerja pembersihan bawah air kerana ia bukan kepakaran syarikatnya.
“Dalam tempoh kira-kira satu setengah bulan, bayaran melebihi RM1 juta telah dibuat kepada subkontraktor berdasarkan dokumen yang dikemukakan, lengkap dengan cop dan tandatangan kapten kapal yang kelihatan sahih,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Bagaimanapun selepas kerja didakwa selesai, mangsa gagal memperoleh bayaran daripada syarikat yang menawarkan projek tersebut.
“Semakan lanjut mendapati alamat e-mel dan nombor telefon syarikat terbabit meragukan, malah siasatan juga menimbulkan persoalan sama ada kapal-kapal yang disenaraikan dalam projek itu benar-benar wujud,” ujarnya.
Hishamuddin berkata, projek berkenaan didakwa membabitkan 11 kapal termasuk 10 di Thailand dan satu di Malaysia.
“Semakan dengan pihak berkuasa pelabuhan dan Jabatan Laut mendapati tiada rekod kemasukan atau pelepasan bagi kapal-kapal yang dinyatakan. Sedangkan setiap kapal yang memasuki perairan negara pasti mempunyai rekod serta ejen yang menguruskannya,” katanya.
Menurut beliau, akibat pembayaran pendahuluan berjumlah RM1.02 juta itu, syarikat mangsa kini berdepan tindakan saman sivil daripada subkontraktor bagi baki kira-kira RM250,000.
“Keadaan ini bukan sahaja memberi tekanan kewangan yang besar, malah berisiko menyebabkan mangsa diisytiharkan muflis sekiranya tidak diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya empat laporan polis telah dibuat di Ipoh dan Teluk Intan namun siasatan diklasifikasikan sebagai NFA.
Sehubungan itu, Hishamuddin berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Perak dan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perak pada 4 Februari lalu bagi memohon penilaian semula terhadap keputusan tersebut.
“Kita memohon supaya keputusan NFA itu dipertimbangkan semula dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Terdapat elemen representasi palsu, niat memperdaya, mangsa menyerahkan wang dan wujud kerugian sebenar mencecah lebih RM1 juta,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















