KUALA LUMPUR – Sebuah Sekretariat Musyawarah Nasional diwujudkan bagi menyelaras agenda dialog, penyelidikan dasar, libat urus pemegang taruh serta pelaksanaan inisiatif rintis yang akan dinilai impaknya secara berkala.
Pengerusi Musyawarah Nasional, Tan Sri Abdul Ghani Othman berkata, ia bagi memastikan semua usaha menerusi inisiatif Musyawarah Nasional bergerak secara tersusun.
Menurut beliau, langkah itu juga bertujuan memastikan setiap cadangan yang dihasilkan memberi manfaat nyata kepada masyarakat dan negara.
Tambahnya, dalam suasana dunia yang semakin mencabar ketika ini, negara memerlukan lebih banyak ruang dialog yang matang dan membina.
“Musyawarah Nasional ini diharap dapat menjadi wadah memperkukuh persefahaman, merapatkan jurang pandangan serta menyumbang kepada pembinaan masa depan Malaysia yang lebih stabil, inklusif dan sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, selari dengan pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2025, Musyawarah Nasional ditubuhkan sebagai ruang muafakat strategik menghimpunkan tokoh masyarakat, ilmuwan, profesional, pemain industri dan wakil masyarakat sivil untuk meneliti isu-isu teras yang membentuk hala tuju bangsa dan negara.
Jelasnya, inisiatif itu berteraskan semangat musyawarah iaitu budaya dialog beradab yang berasaskan rasionaliti, berpandukan fakt serta menuntut tanggungjawab bersama dalam merumus penyelesaian terhadap cabaran semasa negara.
Tambah beliau, Musyawarah Nasional ialah ruang perundingan dasar yang memfokuskan pembinaan kesepakatan serta penghasilan cadangan yang praktikal dan boleh dilaksanakan demi memartabatkan pembangunan bangsa.
Antara bidang tumpuan utama termasuk pembangunan insan dan pendidikan, pemerkasaan ekonomi, pengukuhan institusi masyarakat serta usaha mempertingkat kesejahteraan sosial secara menyeluruh.
“Pendekatan yang diambil menekankan peralihan daripada perbincangan kepada tindakan, agar setiap resolusi yang dicapai mempunyai pelan pelaksanaan, garis masa dan ukuran kejayaan yang jelas,” katanya. – MalaysiaGazette
















