KLUANG – Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan kerana menjual mercun dan bunga api tanpa lesen di Taman Tasik Indah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, remaja berkenaan ditahan di rumahnya pukul 11.10 malam kelmarin selepas menerima aduan daripada orang ramai pada pukul 10.30 malam.
“Siasatan awal mendapati tahanan tidak mempunyai lesen sah untuk memiliki mercun yang dijual kepada orang ramai sekitar kawasan perumahan berkenaan.
“Pelbagai jenis mercun dengan anggaran harga RM20,616 telah berjaya dirampas daripada remaja yang berhenti sekolah sejak usia 16 tahun itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain ujian saringan air kencing mendapati negatif dadah.
Bahrin memberitahu, kes akan disiasat mengikut seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara selama tempoh hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette
















