KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memulakan siasatan awal berhubung isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan membabitkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), minggu hadapan.
SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum dapatan yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 berkaitan ketidakaturan pengurusan kewangan serta isu tatakelola melibatkan universiti awam itu.
“Siasatan akan dilakukan bagi meneliti sama ada terdapat kelemahan tatakelola atau unsur jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, atau pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa suruhanjaya.
“Ia termasuk dakwaan ketidakaturan serius dalam pengurusan kewangan universiti, kutipan yuran tanpa kuasa dan hasil yang tidak direkodkan atau tidak diakaunkan dengan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPRM menegaskan, siasatan dijalankan secara profesional, bebas dan berlandaskan undang-undang tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak.
“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti berlakunya kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atau undang-undang lain yang berkaitan,”
Tambah SPRM, pihaknya komited memastikan setiap dana awam diurus secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat serta menjaga kepercayaan terhadap institusi pendidikan tinggi negara.
Terdahulu, LKAN 1/2026 mendedahkan ketidakaturan serius dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di UKM bagi tahun kewangan 2024.
Menurut Ringkasan LKAN Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2024, kutipan hasil yuran keseluruhan pelajar bagi program SPEND dan DPLI berjumlah RM60.77 juta.
Daripada jumlah itu, UKM merekodkan kutipan RM2.43 juta, manakala RM50.74 juta dikutip melalui koperasi. Bagaimanapun, sebanyak RM7.60 juta masih belum diterima.
Laporan mendedahkan kutipan yuran pelajar tanpa kuasa berjumlah RM50.74 juta dan perjanjian kerjasama tidak mendapat kelulusan Menteri Kewangan.
Selain itu, audit mendapati yuran pelajar tidak direkod sebagai hasil UKM berjumlah RM32.36 juta daripada keseluruhan hasil yuran pelajar berjumlah RM60.77 juta.
Daripada RM50.74 juta yuran pelajar yang dikutip koperasi, agihan RM21.02 juta lewat diserah kepada UKM, dalam tempoh 31 hingga 291 hari.
Turut dikesan, yuran pelajar berjumlah RM5.32 juta masih belum diserahkan kepada UKM, dalam tempoh satu satu sehingga melebihi tiga tahun.
Audit juga mendapati wujud konflik kepentingan di mana lima pegawai UKM memegang jawatan penting dalam koperasi.
Dalam laporan sama, audit mengesan ketidakaturan dalam perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan di UKMShape dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan mencecah RM57.67 juta.
Daripada jumlah berkenaan, RM6.69 juta dikenal pasti sebagai perbelanjaan tidak teratur.
Berdasarkan laporan itu, audit mengesan pemberian komisen kepada ejen yang tidak layak berjumlah RM5.94 juta.
UKM juga didapati menampung perbelanjaan kepada luar negara kepada enam individu bukan kakitangannya berjumlah RM107,907.
Selain itu, audit mengesan Elaun Pelajar Sangkutan Industri kepada pelajar yang tidak layak berjumlah RM35,000 dan pendahuluan bagi penyelarasan program khas tanpa kelulusan sah membabitkan perbelanjaan sebanyak RM200,000.
Perolehan bernilai RM403,500 turut dikesan tidak dibuat melalui Jawatankuasa Sebut Harga.
Sehubungan itu, audit merumuskan terdapat ketidakaturan yang serius dan pelanggaran tatakelola dalam kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di UKM, yang tidak mematuhi undang-undang serta peraturan kewangan. – MalaysiaGazette
















