BATU PAHAT – Tular kemalangan sebuah kenderaan sehingga terbakar dan seorang bayi tercampak keluar serta menangis dalam kejadian di hadapan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini dipercayai awal pagi ini.
Menerusi video tular yang berdurasi 53 saat itu yang dimaklumkan berlaku pukul 2.40 pagi tadi, kelihatan orang ramai berlari di lokasi kejadian dalam keadaan kenderaan itu masih terbakar.
Dapat dilihat bayi yang dipercayai tercampak beberapa meter dari kenderaan tersebut sedang dipangku pengguna jalan raya dalam keadaan menangis.
Bersebelahan bayi berkenaan terdapat seorang mangsa terbaring tidak sedarkan diri tetapi tidak dapat dipastikan lelaki atau wanita.
Kenderaan berkenaan pula berada dalam keadaan remuk dan rosak teruk terutama pada bahagian hadapan.
MalaysiaGazette sedang mendapatkan kenyataan rasmi berhubung kemalangan tersebut daripada Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah.- MalaysiaGazette
















