Penguat Kuasa JAINJ menahan seorang lelaki kerana mengutip derma menggunakan logo MAIJ di bazar Ramadan Gelang Patah, Iskandar Puteri, semalam.

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan seorang lelaki yang berpakaian baju Melayu beserta sampin dan songkok sambil membawa tabung derma di bazar Ramadan di Gelang Patah, jam 5.40 petang semalam.

Lelaki itu ditahan ketika merayu penguat kuasa berkenaan untuk menghulurkan sumbangan tanpa menyedari mereka adalah penguat kuasa.

“Lelaki tersebut merayu penguat kuasa yang ketika itu berpakaian biasa untuk menghulurkan derma sebelum ditahan.

“Lelaki ini memperguna logo MAIJ untuk mengutip derma, kononnya derma ini untuk kebajikan Islam. Lelaki itu turut mendakwa mendapat kebenaran MAIJ,” menurut JAINJ dalam satu kenyataan.

Semasa ditahan, lelaki berusia 50-an itu membawa dokumen palsu dan menggunakan logo Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dalan usahanya mengaburi mata orang ramai dan meraih simpati.

Semua itu dilakukan untuk meyakinkan orang ramai dan hasil kegiatan tersebut dia memperoleh keuntungan ribuan ringgit.

JAINJ memberitahu, hasil semakan pungutan tabung derma tersebut ternyata tidak mendapat kebenaran seperti didakwa.

“Dia telah ditahan dan semua tabung derma, sejumlah wang dan dokumen sokongan palsu turut dirampas.”

Menurut kenyataan itu, lelaki tersebut mendedahkan dia memperdaya orang ramai untuk menderma yang akhirnya wang itu digunakan untuk kegunaan peribadi.

Dia juga memaklumkan sudah melakukan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu dengan menyasarkan kawasan tumpuan seperti depan bank, pasar tani, pasar malam dan juga bazar Ramadan.

Tambah kenyataan tersebut, lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor 2003.

“Sindiket kutip derma tanpa kebenaran ini semakin berleluasa pada bulan Ramadan kerana orang Islam ringan tangan untuk bersedekah dalam bulan mulia ini.

“Orang awam dinasihatkan untuk menderma di saluran yang betul dan tidak mudah terpedaya dengan helah sindiket berkenaan.”- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast