Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Harga barang sewajarnya dapat dikawal  selepas ringgit kembali mengukuh dengan pengawalan subsidi petrol yang dilakukan.

Namun, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, keadaan itu tidak berlaku malah harga barang seperti tidak terkawal.

“Sepatutnya dengan kekuatan ringgit yang ada sekarang dan harga barang makanan yang banyak diimport, kos sepatutnya lebih terkawal.

“Tambahan pula dengan pengawalan subsidi petrol, kenaikan kos pengangkutan barangan juga sepatutnya dapat diminimumkan,” katanya dalam kenyataan.

Suraya Sulaiman

Jadi, sudah sampai masanya kerajaan menggandakan usaha untuk mengawal harga barang keperluan makanan supaya peniaga tidak menaikkan harga jualan sesuka hati.

Kesan daripada perkembangan itu katanya, dapat dilihat apabila harga jualan makanan di beberapa bazar Ramadan pada tahun ini meningkat.

Justeru Pejuang Johor menyeru pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan supaya memantau dan mengawal harga secara lebih tegas serta mampu dibeli.

Peningkatan harga makanan itu semakin membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan keluarga besar, ujarnya.

Suraya berkata, Ramadan sepatutnya menjadi bulan kesederhanaan, keberkatan dan peluang untuk menyemai sifat prihatin serta tolong-menolong dalam masyarakat.

“Pada tahun ini, ramai rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah, keluarga besar dan mereka yang berusaha keras untuk menyediakan juadah berbuka menghadapi kesukaran untuk menikmati makanan dengan kadar yang adil.

“Situasi ini boleh dilihat daripada jualan harga di bazar-bazar Ramadan yang mencerminkan cabaran kos sara hidup dan inflasi yang tinggi,” katanya.

Menurutnya, sesetengah kenaikan harga mungkin disebabkan faktor luaran seperti kos pengangkutan dan bahan makanan, namun tetap memberi tekanan kepada pengguna.

Pejuang Johor menyeru pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan supaya memantau dan mengawal harga secara lebih tegas serta mampu dibeli.

Menurut Suraya, garis panduan harga makanan semasa Ramadan perlu diperkenalkan bagi memastikan setiap makanan dijual pada harga yang setimpal dengan kualiti dan kuantiti.

Pada masa yang sama katanya, pihaknya menekankan tanggungjawab peniaga untuk mengamalkan etika perniagaan yang baik, menghormati keperluan rakyat, dan memastikan usaha mencari rezeki tidak mengorbankan kesejahteraan masyarakat.

“Ramadan bukan bulan untuk menekan pengguna, sebaliknya peluang untuk peniaga dan masyarakat bersama-sama meraih keberkatan dan mengukuhkan hubungan sosial,” katanya.

Pejuang Johor mengharapkan pihak berkuasa dan komuniti dapat mencari jalan terbaik dalam menyelesaikan isu ini.

Antara langkah yang boleh diambil katanya, termasuk kempen kesedaran tentang harga munasabah, penetapan harga siling untuk makanan utama, pemantauan bersama komuniti serta penyediaan mekanisme aduan rakyat yang berkesan.

Tambahnya, dengan kerjasama semua pihak, bazar Ramadan dapat kembali menjadi medan yang adil dan diberkati manakala peniaga pula mendapat rezeki secara beretika dan rakyat dapat menikmati juadah dengan harga berpatutan.

Pejuang Johor percaya usaha bersama ini bukan sahaja menegakkan keadilan ekonomi tetapi juga menyemai keberkatan, perpaduan dan semangat Ramadan yang sebenar dalam masyarakat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast