KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Zionis terhadap Iran dan mendesak serangan itu dihentikan segera.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rundingan perlu diadakan demi menjamin keamanan serta kestabilan sejagat.
Tambahnya, serangan Israel ke atas Iran itu amat membimbangkan dan berisiko mencetuskan ketegangan yang lebih besar di rantau tersebut.
Tegas beliau, serangan itu juga jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvesyen Geneva; resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); Perhimpunan Agung PBB dan prinsip-prinsip piagam PBB.
Disamping itu, tambahnya, serangan itu juga telah melanggar kedaulatan sebuah negara serta mengancam keselamatan dan kestabilan serantau.
“Apa jua alasan yang diberikan, kekerasan bukanlah jalan penyelesaian. Tindakan agresif ini hanya akan menyumbang penderitaan kepada rakyat yang tidak berdosa dan membuka ruang kepada konflik yang lebih luas.
“Dunia ketika ini tidak memerlukan peperangan baharu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Media antarabangsa hari ini melaporkan Israel telah melancarkan satu serangan prapertahanan terhadap Iran, dengan letupan dilaporkan di beberapa wilayah di negara itu termasuk di Teheran.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mendakwa, tindakan itu diambil bagi `menghapuskan ancaman terhadap Israel’, susulan kebimbangan berterusan terhadap program nuklear serta pembangunan peluru berpandu Iran yang didakwa mampu menggugat keselamatan serantau. – MalaysiaGazette
















