Tiga lelaki yang menyamar sebagai maskot karakter kartun bagi meraih simpati orang awam ditahan dalam Operasi Khas Maskot yang dijalankan Pejabat Kebajikan Masyarakat Johor Bahru di Bandar Baru Uda, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Tiga lelaki yang menyamar sebagai maskot karakter kartun bagi meraih simpati orang awam ditahan dalam Operasi Khas Maskot yang dijalankan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru, semalam.

Operasi ad-hoc bermula pukul 10 pagi hingga 9.30 malam itu dilaksanakan susulan aduan tular berhubung peningkatan kegiatan pengemis menggunakan pakaian maskot, khususnya menjelang Ramadan.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), antara lokasi operasi ialah persimpangan lampu isyarat Angsana serta Jalan Padi Emas 1, di Bandar Baru Uda yang dikenal pasti sebagai tumpuan ramai termasuk pengunjung bazar Ramadan.

“Ketiga-tiga lelaki terbabit didapati memakai maskot berbentuk katak dan menjalankan aktiviti meminta sedekah di tengah pembahagi jalan serta di persimpangan lampu isyarat, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan.

“Semua individu berkenaan dibawa ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru untuk diambil keterangan dan maklumat latar belakang,” maklum kenyataan itu.

Jelas JKM, mereka kemudian dilepaskan dengan amaran lisan dan bertulis selepas menandatangani aku janji di hadapan Pegawai Penguat Kuasa JKM.

JKM memaklumkan tindakan di bawah Akta Orang Papa 1977 boleh dikenakan sekiranya mereka mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang.

Jabatan tersebut turut menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan bantuan melalui saluran yang betul dan sah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast