Anwar berucap pada majlis berbuka puasa di Seri Perdana bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Golongan pelajar mesti memperdalami ilmu pengetahuan dan menyesuaikan diri bagi memenuhi tuntutan dunia yang berubah dengan pesat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan muda hari ini berdepan jangkaan yang tinggi dalam dunia yang pantas berubah, dipacu oleh teknologi dan transformasi digital.

“Setiap zaman menuntut sesuatu yang baharu daripada kita. Zaman anak muda hari ini ditandai dengan perubahan yang amat besar dan belum pernah berlaku sebelum ini.

“Kita tiada pilihan. Jika kita ingin maju, kita mesti menerima hakikat bahawa kita tidak boleh kekal di tahap lama.

“Cara kita berfikir, bekerja, belajar dan bertindak mesti seiring dengan kepantasan zaman,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Seri Perdana bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) di sini hari ini.

Perdana Menteri menambah, ilmu perlu dijunjung sebagai nilai teras bukan sekadar kepakaran teknikal tetapi sebagai asas yang dibentuk oleh etika dan nilai kemanusiaan.

Beliau turut berkata, tanggungjawab untuk melakukan perubahan tidak terletak pada bahu pelajar semata-mata, sebaliknya turut melibatkan pendidik dan pemimpin masyarakat.

“Ini bukan sahaja cabaran kepada pelajar tetapi juga kepada pemimpin, guru dan seluruh masyarakat. Perubahan itu mendesak dan menuntut usaha menyeluruh daripada semua pihak,” katanya.

Menyentuh soal ekonomi, Anwar mengakui pencapaian terkini termasuk prestasi pelaburan yang lebih kukuh, nilai ringgit yang lebih stabil dan kadar inflasi yang rendah namun menegaskan  isu-isu di peringkat akar umbi masih belum diselesaikan sepenuhnya.

“Ya, kita mencatat pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan tetapi tandas sekolah tidak boleh digunakan.

“Pada tahun 2023 sahaja, hampir RM1 bilion diperuntukkan untuk membaiki tandas sekolah dan banyak yang telah diselesaikan namun masih banyak yang perlu dilakukan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pelajar agar menuntut ilmu selari dengan integriti dan tanggungjawab moral serta memberi amaran terhadap hakisan nilai dalam wacana awam.

Beliau turut berkata, bulan Ramadan boleh menjadi tempoh pembaharuan dengan menggalakkan umat Islam untuk memperdalam pemahaman terhadap al-Quran sambil terus membantu golongan yang memerlukan.

“Jadikan ini masa bukan sahaja untuk mengukuhkan ibadah tetapi juga untuk membantu rakyat sama ada di hospital, di sekolah dan dalam kehidupan seharian serta menunaikan tanggungjawab kita sebagai pemimpin, guru dan pelajar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast