KUALA LUMPUR – Pemeriksaan polis ke atas kereta Honda Civic yang merempuh beberapa kenderaan awam dalam kejadian di Jalan Cheras berhampiran Sunway Velocity Mall, semalam tidak menemui barang salah.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, ACP Mohamad Lazim Ismail berkata, kira-kira pukul 10.30 pagi, sepasukan polis yang menjalankan Ronda Cegah Jenayah telah mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan yang diparkir di tepi Jalan Nicholas, di sini.
“Pihak polis telah menghampiri kenderaan tersebut untuk tujuan pemeriksaan. Bagaimanapun, secara tiba-tiba pemandu kereta berkenaan telah memecut kenderaan dengan laju sehingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Cheras berhampiran Sunway Velocity Mall.
“Suspek kemudiannya bertindak melanggar beberapa kenderaan awam yang sedang berhenti menunggu lampu isyarat sebelum keluar dari kenderaan dan melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek dipercayai seorang lelaki (bangsa tidak dapat dipastikan) dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu terbabit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan. – MalaysiaGazette















