KUALA LUMPUR – Sultan Selangor berkenan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan syabas kepada pasukan Polis Selangor khususnya kepada Ketua Polis Selangor serta Ketua Polis Daerah Shah Alam atas tindakan pantas dan berkesan sehingga berjaya menahan pelaku-pelaku di sebalik kejadian kecurian tabung Masjid Seksyen 7, Shah Alam.
Baginda memandang serius kejadian kecurian tabung masjid tanpa mengira siapa pun dalang di sebaliknya.
“Wang yang dikumpulkan menerusi tabung masjid adalah amanah umat Islam, hasil sumbangan ikhlas jemaah untuk kebajikan, pengimarahan rumah Allah serta membantu golongan yang memerlukan. Amanah ini tidak boleh sama sekali dikhianati atau disalahgunakan,” titahnya dalam kenyataan.
Baginda turut berasa sukacita kerana pelaku-pelaku yang terlibat telah berjaya ditangkap hasil kerjasama erat antara pihak polis, ahli jawatankuasa masjid dan jemaah setempat yang peka serta bertanggungjawab.
“Semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat inilah yang menjadi benteng utama dalam memelihara kesucian institusi masjid,” titah baginda.
Baginda mahu agar kesemua individu yang didapati bersalah akan menerima hukuman yang setimpal berlandaskan undang-undang.
Titah baginda lagi, tindakan tegas adalah penting sebagai peringatan dan pengajaran kepada semua pihak bahawa sebarang perbuatan yang mencemarkan kesucian rumah Allah dan mengkhianati amanah umat tidak akan dipandang ringan.
Baginda berharap semoga kejadian itu menjadi iktibar bersama dan terus memperkukuh kesedaran masyarakat untuk menjaga, memelihara dan mempertahankan kemuliaan masjid sebagai institusi agama yang suci dan dihormati. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















