KUALA LUMPUR – Malaysia bersolidariti dan berdoa untuk semua yang terkesan dengan konflik di Asia Barat.
Dalam masa yang sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap agar keamanan, keadilan dan kestabilan dapat segera dipulihkan.
“Malaysia mendoakan kesejahteraan umat Islam dan semua masyarakat yang terkesan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Perkembangan terbaharu menyaksikan apabila beberapa media rasmi Iran melaporkan Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei meninggal dunia awal pagi Ahad.
Saluran penyiaran milik kerajaan, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB), mengumumkan bahawa ‘Pemimpin Agung Iran telah syahid’.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump dan Israel mendakwa Khamenei maut dalam serangan bersama yang dilancarkan ke atas negara itu.
Washington dan Tel Aviv mendakwa Khamenei terbunuh dalam operasi ketenteraan mereka.
Namun pihak berkuasa Tehran menafikan kenyataan tersebut dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada perang psikologi terhadap republik Islam itu.
Sebagai rekod, Israel mengumumkan telah melancarkan serangan prapertahanan terhadap Iran semalam.
Tindakan itu sekaligus mencetuskan ketegangan ketenteraan di Asia Barat.-MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:
- Trump dakwa Ayatollah Ali Khamenei terkorban dalam serangan
- Media rasmi Iran sahkan kematian Ayatollah Ali Khamenei
- Setiausaha Agung PBB kata tidak dapat sahkan laporan kematian Khamenei
- Anak perempuan, menantu lelaki, cucu Pemimpin Agung terbunuh: Media Iran
















