Gambar tular

JOHOR BAHRU – Polis telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian tular yang memaparkan dirinya berpaut pada sebuah kereta yang sedang bergerak di atas jalan raya di Bandar Seri Alam, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata lelaki berumur 30 tahun itu yang positif dadah jenis ketamin ditahan di Jalan Persisiran Seri Alam, di sini pada 2 pagi tadi.

Beliau berkata kejadian yang tular di media sosial itu berlaku kira-kira pukul 3.30 petang pada 28 Feb lepas dan dipercayai berpunca daripada pertelingkahan dengan bekas isterinya.

“Pertelingkahan dipercayai bermula di sebuah pasar raya di Bandar Seri Alam sebelum lelaki itu bertindak memanjat atas bonet dan berpaut pada bahagian hadapan kereta yang dipandu wanita berkenaan, lalu terjatuh,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata wanita itu memandu kenderaan secara perlahan sejauh dua kilometer sebelum ditahan sekumpulan individu dipercayai rakan kepada lelaki terbabit, lalu bertindak memecahkan cermin kereta dan memeras ugut serta merampas barang miliknya.

Mohd Sohaimi berkata lelaki yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau itu direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast