KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kecewa selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri gagal diluluskan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Seremban berkenaan, kesemua 40 Ahli Parlimen DAP hadir untuk menyokong pindaan itu.
Malah, ujarnya, DAP telah berusaha secara bersungguh-sungguh untuk merealisasikan agenda reformasi tersebut.
“Masyarakat sivil dan pengundi yang ingin melihat reformasi institusi dalam negara perlu mengecam dan mempersoalkan Ahli-ahli Parlimen yang tidak hadir dan tidak menyokong pindaan ini termasuk blok pembangkang!” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam ini.
Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini tidak meluluskan RUU itu selepas gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.
Menerusi undi belah bahagian, hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir manakala 44 Ahli Parlimen berkecuali.
Untuk pindaan RUU itu diluluskan, ia memerlukan sokongan dua pertiga atau 148 Ahli Parlimen yang hadir secara fizikal, iaitu kurang dua undi yang diperlukan.
Keputusan pengundian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas ia dibahaskan oleh seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Dengan keputusan itu, menyaksikan RUU yang pertama kali dibentang, membabitkan pindaan kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan gagal dibawa untuk bacaan kali ketiga dan kemudiannya diluluskan.
RUU itu dibentang bagi bacaan kali pertama pada minggu lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Bacaan kali kedua pula dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, diikuti sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen. – MalaysiaGazette
















