MELAKA – Keyakinan terhadap ketelusan pengurusan dana mendorong seorang usahawan membida sekeping fantasy note atau ‘Duit Duyong’ bernombor siri istimewa YB8888888 pada harga RM4,000 untuk disalurkan kepada sebuah rumah kebajikan di Duyong di sini.
Bidaan itu dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan hasilnya disalurkan sepenuhnya kepada pusat jagaan Pertubuhan Kebajikan Vila Harapan Melaka (PKVHM).
‘Duit Duyong’ berkenaan diperkenalkan sebagai cenderamata edisi terhad sempena sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini dan dicetak sebanyak 2,000 keping dengan nombor siri bermula YB8888001.

Sementara itu pemenang bidaan, Muhammad Azfar Abdul Razak, 37, dari Kuala Lumpur membuat keputusan membida sebaik melihat makluman awal bahawa hasilnya akan disumbangkan kepada rumah kebajikan orang tua berkenaan.
“Saya memang mengikuti aktiviti YB di media sosial dan nampak beliau kerap turun padang membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang politik dan agama.
“Jadi bila dimaklumkan hasil bidaan akan diserahkan kepada rumah kebajikan, saya tidak ragu-ragu untuk menyertainya kerana jelas ke mana wang itu disalurkan,” katanya.
Pemilik perniagaan pembekalan dan keselamatan itu berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan sumbangan kepada penyelia PKVHM Nora’ain Md Tap di pusat kebajikan berkenaan di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata, pendekatan bidaan dipilih sebagai alternatif kepada kaedah lazim meminta sumbangan secara langsung.
“Kalau minta secara terus sebagaimana kelaziman pun mungkin boleh dapat, cuma tempohnya berbeza sebab itu kita cuba pendekatan santai dan kreatif tetapi matlamatnya tetap untuk membantu rumah kebajikan sekitar Duyong,” katanya.
PKVHM yang ditubuhkan pada menempatkan gelandangan, OKU dan warga emas yang beroperasi lebih 16 tahun lalu menempatkan seramai 112 penghuni berusia antara 24 hingga 89 tahun.
Pusat jagaan ini memerlukan belanja kira-kira RM35,000 sebulan penyediaan makanan penghuni termasuk bahan mentah dan basah tidak termasuk gaji 13 kakitangan, penyelenggaraan dan ubat-ubatan.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya kepada nombor akaun CIMB Bank 8009485242 (Pertubuhan Kebajikan Villa Harapan Melaka) – MalaysiaGazette
















