KUALA LUMPUR – Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda Pas menggesa semua pihak segera menghentikan tindakan ketenteraan dan kembali ke meja rundingan sebagai jalan terbaik untuk meredakan ketegangan di Asia Barat.
Pengerusinya, Mohd Zaiem Irsyad Zainal Abidin berkata, komuniti antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga perlu memainkan peranan aktif dalam mendepani konflik itu.
Katanya, ia termasuk dengan memfasilitasi dialog, melindungi orang awam serta memastikan penyelesaian konflik dicapai melalui diplomasi, keadilan dan penghormatan terhadap kedaulatan negara.
“Pendekatan berasaskan rundingan dan undang-undang antarabangsa merupakan satu-satunya jalan yang mampu mengelakkan peperangan lebih besar serta menjamin keamanan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, dari sudut undang-undang antarabangsa, penggunaan kekerasan terhadap sebuah negara berdaulat tanpa mandat jelas Majlis Keselamatan PBB menimbulkan persoalan serius mengenai pematuhan prinsip kedaulatan negara dan larangan penggunaan kekuatan bersenjata.
Ujarnya, Piagam PBB secara jelas menggesa pertikaian antarabangsa diselesaikan melalui cara aman dan mengehadkan penggunaan kekerasan kecuali dalam keadaan tertentu yang dibenarkan undang-undang antarabangsa.
Dalam masa yang sama, tambah beliau, undang-undang antarabangsa turut mengiktiraf hak sesebuah negara untuk mempertahankan diri.
Jelasnya, kenyataan politik yang mengisyaratkan perubahan rejim dan campur tangan terhadap urusan dalaman sesebuah negara berpotensi menambah ketegangan dan menutup ruang penyelesaian damai.
“Sejarah menunjukkan bahawa campur tangan luar sering membawa implikasi jangka panjang seperti ketidakstabilan domestik, krisis kemanusiaan dan konflik berpanjangan,” katanya. – MalaysiaGazette
















